Friday, February 6, 2009

Islam Agama Manusia Sejagat..

Sejarah manusia dengan agama yang diredai Allah SWT untuk mereka, sentiasa dinodai dengan kuman-kuman yang disebarkan oleh syaitan dari zaman ke zaman.
Kerananya manusia sering dan berulang kali dihinggapi satu penyakit yang sangat parah iaitu penyakit yang disebut oleh Allah sebagai syirik lalu menjadi musyrik, di mana dengannya menjadikan manusia buta dari melihat, pekak dari mendengar dan beku dari memikirkan segala petunjuk Allah.
Istilah buta, pekak dan sebagainya adalah digunakan oleh Allah tanpa segan silu, kerana seluruh manusia yang dihadapkan kata-kata itu adalah hamba-hambaNya belaka.
Manusia pada hakikatnya ialah roh, yang kejadian dan kewujudannya, merupakan suatu daripada rahsia dari pengetahuan Allah SWT, dan di luar batas pengetahuan manusia.
Manusia yang wujudnya di alam nyata ini ialah hasil dari gabungan roh dan jasad, yang mana jasad itu baharu sahaja terjadi dan kesuburannya adalah bersumber kepada tanah dengan segala bahan-bahan yang terdapat di planet bumi ini.
Kehidupan manusia di bumi ini adalah kehidupan yang terlalu singkat, apabila diingatkan betapa roh mereka telahpun ada sejak beberapa lama sebelum kelahiran mereka ke dunia ini dalam bentuk jasmani dan rohani.
Allah menerangkan betapa semua roh itu telah ditanya : Tidakkah Aku ini Tuhan kamu? Dan sekelian roh menjawab : Benar sekali. Adapun pertanyaan dan jawapan ini telah lama sekali berlaku di alam yang tersendiri.
Manusia dengan jasadnya tanpa roh adalah bangkai yang terlalu busuk baunya sekiranya dibiarkan terdedah. Busuknya bau bangkai manusia jauh lebih busuk dari bangkai binatang-binatang yang lain.
Demikianlah manusia ini, mereka dicipta dan dilahirkan ke dunia melalui sebuah planet yang dinamakan ?al-Ardh? atau bumi dengan sebaik-baik kejadian.
Manusia dianugerah dengan akal dan budi bicara. Mereka dapat pula berkata-kata untuk menyampaikan sesuatu yang lahir dari pemikiran dan perasaan.
Mereka juga dilengkapi dengan kebolehan daya usaha dan daya cipta yang dapat mempergunakan segala benda yang disediakan oleh Allah, iaitu apa-apa yang ada di planet bumi ini bagi kepentingan mereka.
Semuanya ini adalah sebagai ujian kepada mereka, kemudian mereka akan dikembalikan kepada sebusuk-busuk bangkai, iaitu seburuk-buruk kejadian dan hancur luluh bersama tanah di bumi yang mereka dilahirkan.

0 Comments: