Sunday, July 5, 2009

Keluarga Ibrahim a.s yang telah menderhaka kepada Tuhan

Kita sering terlupa dengan kedudukan bapa dalam agama. Ada hadis nabi yang menunjukkan bahawa penghormatan anak ke atas ibu itu mestilah tiga kali ganda berbanding penghormatan ke atas bapa.

Dalam ajaran Kristian, bapa dinisbahkan kepada Tuhan yang berada di langit manakala anak Tuhan, Jesus Christ berada di bumi. Nabi Ibrahim a.s digelar sebagai bapa segala nabi. Padanya lahir agama-agama samawi (langit); Yahudi, Islam dan Kristian.

Oleh kerana Ibrahim adalah bapa kepada sekalian nabi, maka daripada baginda juga telah lahir bangsa-bangsa yang agung di dunia ini. Bagi umat Islam, kita ternyata yang paling akrab dengan Ibrahim a.s berbanding umat lain.

Ini kerana, salah satu selawat nabi yang kerap diulang-ulang dalam kalangan Muslimin di seluruh dunia ialah selawat nabi yang mencakupi kesejahteraan ke atas keluarga Ibrahim a.s.

Selawat itu berbunyi begini:-

"Ya Allah, limpahilah selawat ke atas Muhammad dan kepada keluarga Muhammad, seperti mana Engkau telah limpahkan selawat ke atas Ibrahim dan ke atas keluarga Ibrahim. Dan, berkatilah Muhammad dan ke atas keluarga Muhammad, seperti mana Engkau telah berkati ke atas Ibrahim dan ke atas keluarga Ibrahim di dunia ini. Sesungguhnya Engkau Maha Terpuji lagi Maha Agung."

Oleh kerana selawat ini dibaca dalam tahiyat akhir setiap kali solat fardhu lima waktu, justeru setidak-tidaknya, seseorang Muslim itu secara tidak langsung akan berselawat 5 kali sehari semalam ke atas Nabi Ibrahim a.s dan Keluarga baginda.

Timbul persoalan baru, kenapakah antara banyak-banyak selawat, maka selawat ini yang terpilih untuk disertakan sebagai ratib dalam solat kita? Kenapa tidak selawat syifa', selawat tafrijiyyah dan lain-lain jenis selawat lagi?

Sebelum kita menelusuri lebih jauh hal ini, marilah kita saksikan pengorbanan Nabi Ibrahim; peneguh dan penegak ajaran Tauhid ini.

Pengikut Muhammad, umat Islam adalah pengikut Ibrahim

Sebelum kedatangan Islam dengan membawa al-Quran, kaum Yahudi dan Kristian sering bertelingkah mengenai status agama Nabi Ibrahim a.s yang sebenarnya. Lalu turunlah ayat Allah untuk menerangkan perihal agama Nabi Ibrahim serta pegangan akidah tauhid baginda:

Firman Allah s.w.t itu bermaksud:

"Wahai Ahli Kitab! (Yahudi dan Kristian) Mengapa kamu berani bertengkar tentang (agama) Nabi Ibrahim, padahal Taurat dan Injil tidak diturunkan melainkan selepas (zaman) Ibrahim; patutkah (kamu berdegil sehingga) kamu tidak mahu menggunakan akal?"

"Ingatlah! Kamu ini orang-orang (bodoh), kamu telah memajukan bantahan tentang perkara yang kamu ada pengetahuan mengenainya (yang diterangkan perihalnya dalam Kitab Taurat), maka mengapa kamu membuat bantahan tentang perkara yang tidak ada pada kamu sedikit pengetahuan pun bersabit dengannya? Dan (ingatlah), Allah mengetahui (hakikat yang sebenarnya) sedang kamu tidak mengetahuinya."

"Bukanlah Ibrahim itu seorang pemeluk agama Yahudi, dan bukanlah dia seorang pemeluk agama Kristian, tetapi ia seorang yang tetap di atas dasar tauhid sebagai seorang Muslim (Hanif) (yang mendengar, taat serta berserah bulat-bulat kepada Allah), dan dia pula bukanlah dari orang-orang musyrik (golongan yang menyekutukan Allah)."

"Sesungguhnya orang-orang yang hampir sekali kepada Nabi Ibrahim (dan berhak mewarisi agamanya) ialah orang-orang yang mengikutinya dan juga Nabi (Muhammad) ini serta orang-orang yang beriman (umat Islam). Dan (ingatlah) Allah itu adalah Pelindung dan Penolong bagi sekalian orang yang beriman." --- Surah Ali-Imran (65 - 68)

Maka jelaslah bahawa Allah s.w.t telah menetapkan mengenai kedudukan Nabi Muhammad s.a.w sebagai pewaris ajaran Tauhid Nabi Ibrahim a.s. Dan, umat Islam yang menjadi pengikut ajaran Nabi Muhammad s.a.w itulah yang lebih layak digelarkan sebagai golongan yang benar-benar mewarisi ciri-ciri ibadah Nabi Ibrahim a.s.

Dengan sebab itu jugalah, selawat yang kerap diratibkan dalam tahiyat akhir itu terus menjurus kepada selawat ke atas Nabi Ibrahim sendiri.

Hal ini adalah satu perisytiharan kepada orang-orang Yahudi dan Kristian bahawa penganut Islam itulah yang lebih layak digelar sebagai pewaris ajaran Tauhid Ibrahim a.s. Selawat terakhir dalam solat itulah antara bukti-buktinya.

Kita boleh berbangga dengan hal ini dan kita boleh bertanya kepada penganut agama samawi lain; berapa banyakkah mereka menyebut nama Ibrahim a.s dalam ibadat-ibadat mereka?

Kalaupun mereka ada menyebut nama Nabi Ibrahim dalam ibadat mereka, tetapi kekerapan lidah kita menyebutkan selawat ke atas Nabi Ibrahim itu ternyata jauh lebih banyak berbanding mereka lantaran kita menunaikan solat lima kali sehari dan setidak-tidaknya lima kali kita melafazkan selawat tersebut. Itu belum campur solat-solat sunat lagi.

Melayu keturunan Nabi Ibrahim a.s?

Tapi di sana ada suatu hal yang menarik diperhatikan juga jika kita suka berfikir dan meneliti dengan lebih halus lagi iaitu kenapakah selawat itu turut disertakan juga ke atas 'keluarga Muhammad' (ahlul bait) dan 'keluarga Ibrahim' (ali Ibrahim)? Dari suatu segi, kita boleh memahami kedudukan dan kewujudan ahlul bait sehingga sekarang.

Tetapi, bagaimana pula dengan kedudukan dan kewujudan 'keluarga Ibrahim' sampai sekarang? Siapakah 'keluarga Ibrahim' dan jika Tuhan mengiktiraf kewujudan fungsi mereka hari ini, maka di mana peranan mereka sebagai pembela ajaran Tauhid itu? Adakah Yahudi dan Nasrani hari ini (ahli kitab) itu masih beribadat sebagai ibadat warisan Ibrahim a.s walaupun risalah Islam telah tersebar dengan meluasnya pada hari ini?

Mari kita teliti dalil-dalil di bawah ini:-

"Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim berdoa dengan berkata: "Wahai Tuhanku! Jadikanlah (negeri Makkah) ini, negeri yang aman sentosa, dan berikanlah rezeki dari berbagai jenis buah-buahan kepada penduduknya, iaitu orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat di antara mereka."

Allah berfirman:" (Permohonanmu itu diterima) tetapi sesiapa yang kufur dan ingkar maka Aku akan beri juga ia bersenang-senang menikmati rezeki itu bagi sementara (di dunia), kemudian Aku memaksanya (dengan menyeretnya) ke azab neraka, dan (itulah) seburuk-buruk tempat kembali."

"Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim bersama-sama Nabi Ismail meninggikan binaan asas-asas (tapak) Baitullah (Kaabah) itu, sambil keduanya berdoa dengan berkata: "Wahai Tuhan kami! Terimalah daripada kami (amal kami); sesungguhnya Engkaulah yang Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui."

"Wahai Tuhan kami! Jadikanlah kami berdua: Orang-orang Islam (yang berserah diri) kepadaMu, dan jadikanlah daripada keturunan kami: umat Islam (yang berserah diri) kepadamu, dan tunjukkanlah kepada kami syariat dan cara-cara ibadat kami, dan terimalah taubat kami; sesungguhnya Engkaulah Maha Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani."

"Wahai Tuhan Kami! Utuslah kepada mereka seorang Rasul dalam kalangan mereka sendiri, yang akan membacakan kepada mereka ayat-ayat (firmanMu) dan mengajarkan mereka isi kandungan Kitab (Al-Quran) serta Hikmat kebijaksanaan dan membersihkan (hati dan jiwa) mereka (dari syirik dan maksiat). Sesungguhnya Engkaulah yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana." --- (Al-Baqarah: 126 - 129)

Al-Quran jelas menyebutkan doa ke atas negeri Makkah dan bangsa Arab yang berasal daripada Ismail a.s telah mendapat sebuah negara, hasil titipan doa Ibrahim a.s.

Sementara itu, dalam al-Quran tiada disebutkan doa Nabi Ibrahim a.s ke atas Bani Israel yang berasal daripada Ishak a.s yang menjelaskan hubungan negara Palestin yang bakal menjadi milik Bani Israel.

Maka, Tuhan sebenarnya memihak kepada kita, umat Islam untuk mengambil semula Palestin tersebut. Lagi pun, tiada yang khusus oleh Nabi Ibrahim ke atas Bani Israel tersebut, walaupun Bani Israel termasuk dalam keluarga baginda daripada tulang sulbi Nabi Ishak a.s dan kemudiannya Yaakub a.s yang juga dikenali sebagai Israel.

Sementara itu ada riwayat-riwayat lain yang mesti kita kaji semula mengenai zuriat Nabi Ibrahim di belahan dunia Asia. Malah, ada riwayat yang menyebutkan bahawa agama Hindu berasal daripada Nabi Ibrahim.

Sesetengah pihak mendakwa - Dewa Brahma adalah Nabi Ibrahim. Kasta Brahmin itu pula berawal daripada Ibrahim. Manakala Dewi Saraswathi, isteri Dewa Brahma sebenarnya Sarah, isteri Ibrahim a.s.

Perihal kedatangan utusan akhir zaman yang didakwa sebagai Muhammad s.a.w juga turut diriwayatkan dalam kitab Veda.

Diriwayatkan juga dalam beberapa tafsir bahawa Melayu itu punya pertalian zuriat dengan Nabi Ibrahim a.s. Jika andaian ini boleh diterima buat sementara, maka, persilangan zuriat ini berlaku dalam beberapa gelombang.

Gelombang pertama, hasil percantuman benih Nabi Ibrahim a.s dengan isteri baginda dalam kalangan bangsa di Asia. Dan, gelombang kedua, hasil percantuman benih Raja Zulkarnain yang dikatakan pembawa ajaran Nabi Ibrahim di Asia.

Antara kebanyakan bangsa-bangsa di Asia seperti Cina di China, India (India), Mon dan Khmer (Kemboja), Viet (Vietnam), Mongol (Mongolia), maka hanya satu-satunya bangsa yang masih kekal dan tebal menganut ajaran Tauhid Ibrahim itu adalah Melayu dan Melayu Champa.

Timbul persoalan lagi - kenapakah antara ramai-ramai bangsa di Asia, hanya Melayu yang dipilih sebagai bangsa beragama Islam dan bukannya bangsa lain?

Melayu juga pernah merentasi sempadan agama sebelum menerima Islam. Mereka pernah menganut agama Hindu kemudian Buddha dan akhirnya Islam.

Apakah Nabi Ibrahim a.s pernah berdoa semoga ada kalangan zuriatnya kelak di belahan dunia Asia ini yang akan bangkit untuk meneruskan ajaran Tauhidnya dengan kedatangan Islam? Wallahu'alam...

Jawapan kepada semua spekulasi, andaian dan teori ini boleh ditemui jika kita berani mengkaji kitab-kitab agama lain, berani membongkar lebih banyak rahsia agama-agama besar dan purba di dunia.

Ahlul Bait (Ali Muhammad-Keluarga Muhammad) akhirnya singgah ke Nusantara, menyebarkan dakwah Islam kepada keluarga Ibrahim dalam kalangan bangsa Melayu. Akhirnya, penyatuan semula keluarga Muhammad dan keluarga Ibrahim berlaku juga di Nusantara ini.

Dan, barangkali selawat yang menggandingkan keluarga Muhammad s.a.w dan keluarga Ibrahim itu menunjukkan kepada kita bahawa betapa perlunya kedua-dua pertalian keluarga lama ini kembali bertaut untuk meneruskan ajaran Tauhid di akhir zaman ini.

Tidaklah menghairankan betapa Richard Nixon, mantan Presiden Amerika pernah menyatakan kebimbangannya ke atas potensi Islam di rantau Nusantara hari ini sejak sekian lama. Nusantara ini, menurutnya adalah rantau yang perlu dipantau.

Jika benar Melayu ini bahagian daripada zuriat Nabi Ibrahim a.s di benua Asia, maka bangsa Melayu ini layak termasuk dalam selawat ke atas golongan 'Ali Ibrahim' (Keluarga Ibrahim) sebagai yang kerap diratibkan dalam tahiyat akhir di dalam solat fardhu harian itu.

Maka tiadalah rugi jika kita kerap melafazkan selawat ke atas Nabi Muhammad s.a.w dan ahlul bait seperti mana selawat itu ditujukan juga kepada Nabi Ibrahim a.s dan keluarga Ibrahim a.s.

Keluarga Ibrahim a.s yang masih mencari jalan pulang ke arah landasan Tauhid pada zaman ini seperti Maryam Jameelah (lahir sebagai Yahudi) dan lain-lain tentu termasuk dalam golongan yang dirahmati.

Keluarga Ibrahim a.s yang telah menderhaka kepada Tuhan tidak termasuk dalam kalangan yang dirahmati sebagai yang disebut dalam nas di atas. Allah s.w.t sendiri berkata, bahawa antara keluarga Ibrahim a.s yang zalim (Yahudi dan Nasrani) akan dikecualikan daripada doa Nabi Ibrahim a.s tersebut.

Selagi mana Melayu sebagai keluarga Ibrahim a.s masih fasih beribadat menurut acuan celupan sibghah yang dikehendaki Allah maka tiada sebarang kuasa pun yang akan dapat menjejaskan mereka kerana berkat selawat yang lazim kita ratibkan pada akhir tahiyat kita itu, insya Allah.

Monday, June 15, 2009

Ulama Israil raikan majlis maksiat


Dilaknat pada zaman Nabi Isa a.s., apabila ada di kalangan Bani Israil menjadi babi kerana mendurhakai Allah.

Ada antaranya Allah mengurniakan mereka Nabi Isa a.s. yang dilahirkan daripada perempuan yang sangat solehah dan kuat beribadat kepada Allah iaitulah Mariam a.s.

Apabila Mariam mengandung Isa a.s., Mariam dituduh berzina, memang dia tidak mempunyai suami, lalu Allah membuktikan bahawa Mariam tidak berzina.

Anak yang dilahirkan itu kurniaan Allah yang menjadi tanda kebesaran-Nya. Setelah Allah menjadikan Adam a.s. tanpa ayah dan ibu, Hawa di ciptakan daripada tulang rusuk Adam. Allah menjadikan Isa a.s. tanpa ayah.

Setelah Isa a.s. dilahirkan dan dalam keadan masih menyusu itu dibawa oleh Mariam a.s., Bani Israil datang mengerumuni Mariam sambil bertanya: "Wahai Mariam! Mengapa kamu melakukan ini (zina sehingga melahirkan Isa a.s.)?"

Mariam diperintah oleh Allah dengan wahyi daripada Malaikat Jibrail a.s. supaya jangan bercakap. Mariam diperintahkan berpuasa, termasuk tidak bercakap. Hanya mengisyaratkan supaya bertanyakan hal itu kepada anaknya yang masih bayi.

Tiba-tiba anak yang masih bayi itu bercakap: "Sesungguhnya aku hamba Allah," dan menjelaskan bahawa dia dilantik menjadi nabi, beliau telah berkata-kata pada usia bayi yang pada adatnya tidak menasabah bayi bertutur dengan fasih.

Beliau menegaskan beliau adalah seorang nabi dan rasul sebelum sampai usia dewasa. Allah mengurniakan makjizat kepada nabi Isa a.s., antara makjizatnya; boleh menceritakan kepada kanak-kanak sebaya dengannya di mana emak mereka di rumah menyembunyikan kuih yang siap dimasak.

Ini adalah antara mukjizat untuk membutikan Isa a.s. sebagai seorang nabi. Lalu mereka marah kepada Nabi Isa a.s.

Sesetengah kitab termasuk kitab jawi, 'Al-Jauharul Mauhuub Wamunabbihaatul Quluub' menyebut kisah ini.

Mereka mengurung kanak-kanak di satu tempat supaya tidak berkawan dengan Nabi Isa a.s. Ini bertujuan untuk memulau Nabi Isa a.s.

Dikurniakan oleh Allah mukjizat, apabila Isa bertanya di manakah kawan-kawannya, mereka menjawab tidak ada. Tetapi beliau bertanya pula siapakah yang dikurung itu? Dijawab itu babi.

Tiba-tiba kanak-kanak yang dikurung itu menjadi babi. Dan Allah boleh mengembalikan semula manusia yang menyerupai babi itu dengan izin-Nya.

Sementara itu berlaku beberapa kisah yang lain, selepas nabi Isa a.s. dibangkitkan menjadi rasul. Walaupun dalam riwayat ini ada antaranya berunsur Israiliyyat (cerita dibawa orang-orang Yahudi) jika tidak bercanggah dengan nas kita menerimanya. Jika sebaliknya wajib menolaknya.

Jika tiada nas ia menjadi cerita biasa. Itu adalah kekuasaan Allah dan menjadi dalil bahawa Allah melaknat Bani Israil.

Firman Allah yang bermaksud: "Yang demikian itu dengan sebab mereka itu mendurhakai Allah dan adalah mereka itu melampaui batas." (Surah al-Maidah: 78)

Allah menyebut kejahatan yang besar dilakukan oleh mereka terutamanya dari kalangan orang-orang alim mereka. Sebagaimana firman Allah yang bermaksud: "Adalah mereka itu tidak mencegah kemungkaran yang mereka lakukan, alangkah buruknya perbuatan mereka itu." (Surah al-Maidah: 79)

Mereka tidak mencegah kemungkaran yang berlaku di kalangan mereka. Orang alim di kalangan mereka mendiamkan diri dan buat tidak mengetahui apa yang berlaku.

Hadis riwayat Imam Ahmad dari Nabi s.a.w. yang bermaksud: "Ketika berlaku maksiat di kalangan Bani Israil, di peringkat awalnya orang-orang alim mereka mencegah perbuatan itu. Tiba-tiba bani Israil tidak mendengar tegahan itu dan terus melakukan maksiat. Selepas itu orang-orang alim duduk makan minum sekali dalam majlis mereka."

Selepas Bani Israil terus menerus melakukan maksiat, orang-orang alim tidak lagi bersungguh mencegah maksiat bahkan berkawan pula.

Jika ada jemputan ke majlis golongan maksiat mereka bersegera menghadiri majlis itu dan makan serta minum sekali dengan golongan tersebut.

Jika era sekarang hadir menjadi orang yang membaca doa majlis serupa dengan alasan sekadar membaca doa sahaja walaupn majlis maksiat.

Selepas menghadiri majlis berkenaan, orang-orang alim itu tidak lagi mencegah maksiat yang dilakukan walaupun golongan alim itu tidak melakukannya.

Tuesday, April 28, 2009

Anai-anai maklumat yang akan meruntuhkan tembok gergasi Ruwaibidhah UMNO, Najib, Dan ..

Siapakah golongan Ruwaibidhah? Kehadiran kelompok ini memang mendatangkan banyak masalah kepada umat Islam serata dunia. Kecelakaan menimpa umat ini memang parah. Dan kehadiran mereka adalah salah satu penyebabnya.

Daripada Abu Hurairah r.a. berkata: Rasulullah s.a.w bersabda; "Lagi akan datang kepada manusia tahun-tahun yang tandus (kemarau panjang). Dan pada waktu itu orang yang berdusta dikatakan benar dan orang yang benar dikatakan berdusta.

Orang khianat akan disuruh memegang amanah dan orang yang amanah dikatakan pengkhianat. Dan yang berpeluang bercakap hanyalah golongan 'Ruwaibidhah'. Sahabat bertanya, "Apakah Ruwaibidhah itu hai Rasulullah?" Nabi s.a.w menjawab, "Orang yang kerdil dan sebenarnya hina dan tidak mengerti urusan orang ramai." [Ibnu Majah]

Menurut keterengan Ustaz Fahmi Zam Zam dalam 40 hadis susunannya berhubung akhir zaman, beliau menyimpulkan bahawa era di mana terbitnya Ruwaibidhah ini adalah zaman ketandusan daripada segi material dan pemikiran.

Orang yang benar akan diketepikan dan orang yang khianat serta fasiq akan disanjung dan dibesar-besarkan. Orang yang benar tidak diberikan peluang untuk bercakap. Yang berpeluang bercakap hanya peribadi-peribadi yang hina dan sebenarnya tidak tahu bagaimana untuk menyelesaikan masalah-masalah yang dihadapi oleh masyarakat.

Ciri-ciri Ruwaibidhah

Berdasarkan hadis itu, kita dapati Ruwaibidhah adalah mereka yang hadir pada era tandus dan kekeringan hikmah, pengetahuan hingga umat tidak lagi mampu berfikir dengan cara betul. Ini isyarat pertama.

Oleh sebab masyarakat menjadi bodoh kerana diperbodohkan pihak penguasa, maka orang berdusta pun boleh menjadi benar dan orang yang benar pula boleh dikatakan sebagai telah berdusta. Ini isyarat kedua.

Pengkhianat diminta memegang amanah dan orang yang amanah dituduh pengkhianat. Ini isyarat ketiga.

Isyarat keempat dan yang terakhir; yang berpeluang bercakap hanyalah golongan 'Ruwaibidhah'. Inilah yang paling utama sekali. Kita akan huraikan kemudian, kenapakah isyarat ini yang dianggap penting dan terutama.

Mengakhiri sabdanya, Rasulullah s.a.w menjelaskan bahawa pada hakikatnya.. Ruwaibidhah itu manusia yang kerdil, hina dan tidak mengerti urusan orang ramai.

Ruwaibidhah di negara kita

Antara ciri-ciri yang utama Ruwaibidhah ini ialah sistem yang dipegang, amalan pentadbiran dan cara hidup era tersebut telah menyebabkan, hanya golongan

Ruwaibidhah sahaja yang bercakap. Manakala, penyertaan suara yang selain daripada mereka tidak diberikan.

Keadaan ini menyebabkan maklumat menjadi tidak seimbang, rakyat akan mendengar sebelah pihak dan menelan bulau-bulat propaganda mereka. Dengan sebab inilah masyarakat dan rakyat tu menjadi semakin bodoh kerana diperbodohkan.

Setelah masyarakat tidak cerdik, maka berleluasalah gejala lain seperti, orang yang benar akan diketepikan dan orang yang khianat serta fasiq akan disanjung-sanjung dan didewa-dewakan.
Akta-akta, undang-undang diperkenalkan sehingga menyekat penyertaan suara orang-ramai. Orang yang benar-benar ikhlas dan jujur sangat kurang peluangnya untuk bercakap, menulis dan melontarkan pandangan. Media dikawal rapi. Pendek kata inilah ciri-ciri diktator pada hari ini.

Sebenarnya, jika mereka ingin menunjukkan kebaikan, semua itu hanyalah sekadar sandiwara dan lakonan. Mereka mungkin mahu menyekat suara orang-ramai, tetapi dikhuatiri akan dinamakan kukubesi dan diktator. Maka, sesekali terpaksalah mereka merelakan penyertaan suara khalayak ramai. Tapi, selepas itu mereka akan menutupnya semula.

Peluang bercakap cuma dimiliki sepenuhnya oleh watak-watak yang hina dan mereka ini tak tahu bagaimana mahu selesaikan masalah-masalah yang dihadapi oleh masyarakatnya. Bayangkan, ruang bercakap di media, radio dan televisyen dimonopoli oleh orang yang tidak tahu mengendalikan masalah rakyat.

Sedangkan, mereka yang benar-benar bijaksana dalam urusan menyelesaikan masalah rakyat telah diketepikan suara mereka itu dalam ruang media. Dan jika mereka yang bijaksana ini mahu mencari pentas ceramah dan pidato, permit boleh ditarik balik pada saat-saat akhir setelah pada awalnya permit itu diberikan.

Perkembangan mutakhir ini menyebabkan ramai pihak boleh menyatakan suara dan bantahan mereka menerusi blog, laman web dan sebagainya. Namun, mereka tetap terdedah kepada unsur godaman internet oleh pihak-pihak tertentu, ditahan reman di bawah akta tertentu untuk disoal-siasat dan lain-lain tindakan lagi.

Bagaimana mengatasi Ruwaibidhah?

Tidak guna juga jika kita merincikan siapakah Ruwaibidhah tanpa memberikan imbuhan mengenai bagaimanakah caranya untuk menangani puak-puak Ruwaibidhah ini.

Asas atau kunci untuk menumbangkan hegemoni, legasi puak-puak Ruwaibidhah ini amat bergantung kepada taraf kecerdikan rakyat yang telah diperbodohkan selama ini. Ketika masyarakat cerdik dan cekap membuat keputusan, maka Ruwaibidhah ini akan tumbang dengan sendirinya nanti, insya Allah.

Islam telah pun menggariskan apakah ciri-ciri munafik sebagai musuh utama umat Islam. Munafik sebenarnya bukan Islam. Mereka kelihatan Islam di luaran, tetapi dalamannya masih kufur. Munafik akan terlempar dalam neraka terlebih dahulu. Dan, tidak sah berimamkan orang munafik kerana pada hakikatnya mereka adalah kufur.

Demikian ciri munafik. Tetapi, sukar dikenalpasti kemunafikan ini lantaran mereka juga bersolat seperti orang lain.

Sementara ciri-ciri ruwaibidhah ini boleh jadi terlekat ke atas Muslimin dan orang bukan Islam. Dalam masyarakat Islam ada pemimpin ruwaibidhah dan begitu juga dalam negara bukan Islam. Pendek kata, ruwaibidhah adalah ciri universal yang dimiliki oleh mana-mana bangsa, agama dan kepercayaan.

Kehadiran golongan ruwaibidah bersifat merentasi sempadan bangsa, negara, agama dan kepercayaan dan boleh mereka hadir di mana-mana jua. Sedangkan munafik hanya suatu gelaran yang dinisbahkan kepada orang bukan Islam yang menyamar untuk melemahkan umat Islam daripada dalam. Ini ciri khas untuk masyarakat Islam sahaja.

Penawar untuk menjatuhkan tembok keangkuhan ruwaibidhah ialah.. perjuangan menegakkan kebebasan bersuara, menggalakkan kemunculan ruang media yang lebih banyak untuk membongkar isi filsafat songsang mereka selama ini.

Penyertaan bersuara dalam kalangan rakyat menggetarkan seluruh hati dan perasaan kelompok Ruwaibidhah kerana tipu daya mereka akan terbongkar. Niat jahat mereka ditumbangkan oleh bedilan kata-kata pejuang kebenaran. PPSMI dan Ruwaibidhah Sabda Rasulullah s.a.w,
Ruwaibidhah ini sebenarnya watak manusia yang kerdil, hina dan mereka ini sebenarnya tak tahu mengenai cara bagaimana mahu menyelesaikan masalah orang-ramai. Masalah masyarakat yang tidak selesai, belum selesai dan separuh selesai ini berpunca daripada kegagalan media yang seimbang untuk beroperasi secara adil.

Ruwaibidhah inilah yang dengan takburnya mengangkat suara: "Perjuangan belum selesai!"

Mahu selesai bagaimana sedangkan mereka inilah antara penyumbang saham terbesar dalam usaha meruntuhkan tamadun bangsa ini. Suara-suara untuk menegur dihalang. Yang ingin membuat pembaharuan dipecat, dan dikenakan pelbagai tindakan.

Sebenarnya, banyaklah masalah rakyat yang belum selesai di bawah pemerintahan Ruwaibidhah ini. Ciri-ciri terakhir yang telah digariskan oleh baginda rasulullah ialah mereka ini tidak mengerti urusan orang-ramai. Mereka tidak tahu kerana tidak turun padang bagi menyelami hakikat sebenarnya.

Tak perlu ambil contoh urusan rakyat yang terlalu banyak. Ambil contoh PPSMI saja. Adakah Ruwaibidhah ini boleh turun menyamar dan betul-betul menyelidik mengenai susah-payah orang bawahan, guru-guru yang mahu melaksanakan PPSMI?

Ternyata Ruwaibidhah tidak tahu banyak kesukaran rakyat bawahan. Selain itu, orang yang ingin bercakap benar seperti guru-guru yang ingin melontarkan keluhan, tidak diizinkan bercakap di media dengan ugutan tertentu oleh Ruwaibidhah.

Malah, cendekiawan yang benar dalam kalangan GMP dituduh sebagai pendusta. Sedangkan si Ruwaibidhah ini pula dikatakan sebagai orang yang benar dalam ucapannya.

Tokoh-tokoh GMP sentiasa hadir dengan jumlah bilangan yang sama dan kehadiran mereka tidak berubah. Walhal Ruwaibidah telah berubah daripada Hishammuddin Hussein kepada Muhyiddin Yassin. Mengubah seorang Ruwaibidhah kepada Ruwaibidhah yang lain tidaklah mengubah apa-apa dasar itu pun.

Ini kerana Ruwaibidhah tetaplah digantikan dengan Ruwaibidhah. Salin pakaian dan baju sahaja sedangkan roh, jiwa serta pemikiran termasuk sistemnya tetaplah sama.

Adakah hal ini pun salah satu daripada strategi halus Najib juga untuk menyelamatkan sepupunya Hishammuddin dan supaya Muhyiddin terbeban dengan banyak hal dan akhirnya hal ini menjadi hujah untuk menyingkirkan Muhyiddin kemudian hari?

Ruwaibidhah Najib akan melakukan banyak sandiwara lakonan sepanjang pemerintahannya. Bermula rampasan kuasa di Perak, kemudian penarikan penggantungan permit penerbitan Harakah dan Suara Keadilan dalam keadaan Akta Penerbitan dan Mesin Cetak yang masih dikekalkan, Ruwaibidhah ini masih lagi menyekat dan membataskan penyertaan suara.

Adalah perlu bagi Ruwaibidhah Najib menonjolkan kebaikannya buat sementara waktu. Tetapi gergasi Ruwaibidhah ini tidak boleh menipu para pengamal media yang terlalu cukup masin dengan pengalaman ketika menekuni tipu helah Najib dan fasih pula dengan sandiwara membebaskan 13 tahanan ISA itu.

Masa dan waktu, bersulam keinginan rakyat mencari ruang maklumat yang lebih banyak menyebabkan Ruwaibidhah akan hancur sedikit demi sedikit. Anai-anai maklumat inilah yang akan meruntuhkan tembok gergasi Ruwaibidhah Najib, insya Allah!

I LOVE UMNO...

Firman Allah SWT melalui ayat 82 surah at-Taubah bermaksud: "Maka bolehlah mereka (golongan munafik) ketawa sedikit (di dunia ini) dan mereka akan menangis banyak (di akhirat kelak), sebagai balasan bagi apa yang mereka telah usahakan (semasa hidup di dunia)." Dan dalam ayat 60 surah an-Najm yang bermaksud: "Maka mengapa kamu ketawa dan tidak menangis?"

Mesej daripada maksud dua potong ayat di atas walaupun pendek, sarat dengan pelbagai pengajaran yang perlu diambil oleh kita semua, betapa Allah SWT mencemuh golongan munafik yang boleh disifatkan sebagai golongan yang mana hidup mereka penuh dengan kepura-puraan.

Sesungguhnya kedua-dua ayat berkenaan di atas ditujukan kepada golongan munafik yang banyak mempersendakan kebenaran ayat-ayat al-Quran ataupun pengajaran daripada hadis-hadis Nabi Muhammad s.a.w. Mereka merupakan golongan yang menzahirkan luaran mereka sebagai orang Islam, tetapi pada sanubari mereka menyatakan kebencian yang amat sangat terhadap Islam, lebih dahsyat daripada orang bukan Islam.

Mereka menyatakan kononnya mahu melakasana dan menegakkan hukum-hukum Islam, tetapi pada masa yang sama menyubur serta memperbanyakkan program-program maksiat melalui penganjuran sitcom-sitkom gelak ketawa, malah dipertandingkan seperti 'Rajalawak'/'Lawaking' yang mahu mengajak penonton supaya banyak ketawa dan menangis sedikit.

Tidak ada program lawak yang mengajak manusia untuk berfikir pada alam akhirat atau menyebabkan mereka menangis.

Tetapi yang jelas bahawa mereka diajak untuk ketawa hingga lupa tugas sebenar untuk beriman kepada Alla SWT, sesungguhnya terdapat pandangan di kalangan ulama kontemporari hari ini yang menegaskan bahawa umat Islam adalah umat serius yang mempunyai tanggungjawab besar menyeru manusia sejagat untuk kembali kepada fitrah mereka iatu menyembah Allah - Tuhan segala manusia.

Apa yang jelas jika ciri-ciri golongan munafik ada dalam diri insan Muslim, ia boleh dianggap sebagai satu musibah besar, kerana ciri-ciri tersebutlah yang akan mengundang kemarahan Allah dan sudah pasti tidak akan berjaya mendapatkan pertolongan Nabi Muhammad pada hari akhirat kelak.

Perkara ini ada ditegaskan Allah melalui firman-Nya dalam ayat 145 surah an-Nisaa yang bermaksud: "Sesungguhnya orang-orang munafik itu ditempatkan pada tingkatan yang terkebawah sekali dari (lapisan-lapisan dalam) neraka. Dan engkau tidak sekali-kali akan mendapat sesiapa pun yang boleh menolong mereka."

Berdasarkan hadis Riwayat Bukhari dan Muslim, Nabi Muhammad s.a.w mengatakan:

Tanda orang-orang munafiq itu ada tiga keadaan.

* Pertama, apabila berkata-kata, dia berdusta.
* Kedua, apabila berjanji, dia mengingkari.
* Ketiga, apabila diberikan amanah (kepercayaan), dia mengkhianatinya.

Apabila dilihat kepada maksud pengisian yang ada dalam hadis baginda di atas, kita dapat simpulkan bahawa masih terdapat di kalangan umat Islam hari ini yang sanggup berdusta semata-mata untuk mencapai impian dalam hidup mereka.

Mereka tidak mempedulikan larangan Allah atau suruhan-Nya, yang dilarang itulah menjadi keutamaannya untuk dilakukan, sedangkan suruhan Allah diabaikan. Gambaran ini dapat dilihat secara jelas, sebagai contoh penyertaan individu Muslim dalam program yang dilarang seperti Rajalawak, ia menjadi pilihan dan kesukaan ramai manusia hari ini, pada masa yang sama ramai juga yang meninggalkan solat kerananya.

Begitu juga individu Muslim yang berbuat janji, apatah lagi janji mereka kepada Allah seperti dalam lafaz yang diungkapkan dalam solat, sesungguhnya hidupku, matiku dan seluruh amal ibadatku adalah hanya untuk Allah, Tuhan sekelian alam.

Tetapi selepas solat, banyak perkara yang dijanjikan itu disanggah secara langsung atau tidak langsung, ramai Muslimat yang solat dengan pakaian kain telekung yang mencantikkah penampilan mereka, tetapi ramai juga di kalangan mereka mendedahkan aurat atau menampakkan rambut mereka di hadapan khalayak lelaki.

Begitu juga dengan amanah yang diberi, terutamanya amanah sebagai manusia Islam yang diwajibkan untuk melaksanakan segala titah perintah Allah SWT dalam erti kata sebenarnya. Tetapi ia hanya seruan yang tertinggal di atas mimbar oleh khatib pada setiap hari Jumaat, ia tidak digarap dengan baik oleh para jemaah, amanah untuk membangun bersama Islam tidak ditepatinya. Amanah untuk mendaulatkan Islam juga hanya retorik semata-mata, kesemua agenda hidup tidak berteraskan untuk kurangkan ketawa dan menangis banyak kerana takut kepada Allah.

Program-program kuliah dan ceramah di masjid-masjid atau surau-surau kebanyakannya dihadiri oleh golongan pesara walaupun terdapat golongan muda atau remaja, tetapi jumlahnya terlalu sedikit. Mungkin kempen kepada golongan ini untuk ke masjid atau surau tidak dikuat-kuasakan oleh pihak berkuasa, sebab mereka pun tidak terfikir untuk ke masjid atau surau, tetapi kempen untuk program ketawa seperti "Jomheboh" dan lain-lain dipromosikan dengan hebat sekali, sebab yang berkempen pun akan menyertainya.

Kepada mereka dibacakan sebuah hadis Nabi Muhammad s.a.w. yang bermaksud: "Kemanisan di dunia akan memahitkan nanti di akhirat, dan apa-apa yang memahitkan di dunia akan memaniskan seseorang itu di akhirat."

Sesuatu yang manis pasti akan menggembirakan seseorang, seperti kerap makan durian yang sedap dan enak, tetapi ia akan menjadikan seseorang itu mungkin akan terkena obesiti dan kencing manis, berbanding dengan ubat periuk yang pahit, bagi pengamal yang sering meminumnya walaupun tidak sedap, tetapi ia menjanjikan kesihatan yang baik.

Begitulah sebaliknya bagi mereka yang mengutamakan yang pahit, maksudnya menjalani proses hidup sebgai Muslim yang beramal dengan solat lima kali sehari semalam. Ia menjadi manis bagi orang biasa buat, tetapi ia dianggap pahit atau sukar untuk dilakukan bagi mereka yang tidak biasa atau golongan yang memiliki ciri-ciri orang munafik.

Apapun semua yang pahit itu sebenarnya akan membahagiakan seseorang itu nanti di alam akhirat, termasuklah berada dalam jemaah yang berteraskan Islam. Untuk memajukan Islam sebagai cara hidup bukanlah satu perkara yang mudah, namun ia memerlukan kesabaran yang cukup tinggi dan kewarasan pemikiran untuk mendapatkan syafaat (rekomendasi) daripada baginda Rasulullah s.a.w. di akhirat kelat, Insya-Allah. Yang penting banyakkan menangis kerana takut kepada Allah SWT.

Tuesday, March 24, 2009

Bermulanya Israel menguasai Palestin

Palestin yang sedang dikepung, diseksa dan dibunuh oleh rejim Israel, pada ketika yang sama pemimpin dunia Islam, khususnya dunia Arab, hanya 'terkebil-kebil' mendengar dan melihat penyeksaan rejim Yahudi ini di kaca TV.







Kutukan demi kutukan dari pemimpin umat Islam, dari anggota OIC dan NGO-NGO hak-hak asasi manusia. Sementara Kesatuan Eropah dan Bangsa-Bangsa Bersatu serta Amerika hanya meminta tentera Israel tidak menyerang kawasan penduduk awam, ertinya bolehlah menyerang untuk sasaran militan Arab di Gaza saja.

Ulang tayang

Peristiwa serangan ini adalah ulangan tindakan Israel sejak puluhan tahun lalu dan hingga kini, iaitu sejak zaman Presiden Richard Nixon, malah sebelum itu lagi, hingga zaman Barack Obama yang sesetengah orang diharapkan ada perubahan.

Kini serangan itu berterusan, ratusan rakyat Gaza terbunuh setiap hari, mayat bergelimpangan, bangunan runtuh, hospital musnah, tidak ada jalan keluar bagi rakyat Gaza untuk mendapatkan makanan.

Mesir juga menutup sempadannya untuk tidak membenarkan pelarian Palestin tumpah lagi ke negara itu. Syria, Libya, Jordan dan negara Arab lain tidak lagi mampu menerima pelarian yang berjumlah berjuta-juta banyaknya.

Ini adalah episod yang sangat mememilukan, sebuah tragedi kemanuiaan yang tidak ada tandingannya, bahkan tragedi kemanusiaan ini melebihi pembunuhan Nazi Jarman terhadap orang Yahudi di Eropah.

Tidak ada siapa yang ditakuti oleh rejim Tel Aviv sekarang, justeru kerana Amerika, di bawah presiden barupun tetap menyokong mereka. Malah Amerika terus menerus melindungi kepentingan Yahudi.

Maka jadilah rakyat Paletin di Gaza itu 'bahan ratahan' tentera Israel. Anak-anak muda Palestin meluru ke jalan-jalan raya melemparkan batu ke arah tentera dan keretakebal Israel, lalu dari muncung kereta kebal Israel itu memuntahkan peluru meriam yang membunuh mereka dengan mudah.

Bayangkan bagaimana anak-anak muda Palsetin yang hanya bersenjatakan batu di tangan boleh melawan tentera Israel dengan segala peralatannya. Namun itulah yang terjadi. Inilah pemandangan ngeri yang berterusan disaksikan oleh masyarakat antarabangsa seluruh dunia.

Adakah harapan buat Obama?

Adakah rakyat Palestin ini mempunyai masa depan? Ini pertanyaan yang sangat sukar dijawab, walaupun daripada pakar mengenai Asia Barat sendiri. Memang ada sesetengah pihak mengharapkan Obama yang berkulit hitam itu melakukan sesuatu dalam menyelesaikan isu Palestin, namun nampaknya rejim tentera Tel Aviv, pimpinan Menteri Pertahanannya yang sangat ganas, Ehud Barat, tidak mungkin bersedia menghentikan serangannya. Ini kerana dia tahu, Amerika dan sekutunya akan terus menyokong Israel.

Jika begitu keadaannya, bagaimana masalah ini dapat diselesaikan? Israel menuduh para pejuang Hamas melancarkan roket di kawasan Israel, ada yang mengena sasaran dan ada yang tidak. Namun hujan roket dari Israel, di samping meriam kereta kebal mereka terus menerus membunuh rakyat Palestin.

Sementara itu bagaimana sikap pemimpin umat Islam, khususnya pemimpin dunia Arab? Selagi mereka masih kekal dengan sikap assobiyah Arab mereka, tidak bersatu atas nama Islam untuk memerangi rejim Yahudi, maka tidak mungkin rejim itu boleh berundur.

Kerdilnya negara Arab

Bayangkan setiap tahun negara Arab membelanjakan beratus bilion dollar Amerika untuk membeli senjata api tercanggih dari pelbagai negara Barat, khususnya Amerika. Namun negara Arab tidak juga mampu memperlihatkan kekuatan tentera mereka untuk menghadapi Israel.

Akhirnya negara Arab hanya menjadi 'pengguna' setia senjata moden Barat, sementara senjata itu tidak juga menolong memperlihatkan 'izzah' (keunggulan, kehebatan) negara Arab sehingga menggerunkan Israel.

Inilah yang berlaku terus menerus, pada ketika yang sama, siapapun yang menjadi Presiden Amerika, negara itu terus melindungi kepentingan Israel.

Benarlah kata ulama tersohor, Sayyid Hasan Ali An-Nadawi dalam bukunya Kerugian Dunia Kerana Kemunduran Umat Islam bahawa negara umat Islam perlulah memiliki ilmu dan kekuatan senjata yang cukup disertai kemajuan teknologi supaya dengan kekuatan itu mereka mampu memimpin dunia.

Malangnya, kata An-Nadawi, hampir semua kekuatan ini kini tidak dimiliki oleh umat Islam, pada hal di zaman dulu, umat Islamlah yang memiliki semua kekuatan ini. Kini, katanya, pemimpin negara Arab hanya memikirkan kepentingan negara masing-masing, dilatari oleh sikap assobiyah, atau perkauman Arab yang semakin menebal.

Perlu diingat, kata An-Nadawi lagi, sikap ini menyebabkan runtuhnya Daulah Islamiyah Turki pada tahun 1924, iaitu di tengah-tengah Assobiyah Arab yang tebal itu, ia bertembung pula dengan assobiyah Turki kerana ketika itu Turki juga sangat angkuh dan merasakan ia adalah bangsa besar. Inilah kesan buruk yang dialami sehingga keadaan menjadi begini.

Mula tergadai

Sementara itu, ketika menyaksikan penyiksaan dan pembunuhan beramai-ramai rakyat Palestin oleh rejim Israel itu, kita teringat bagaimana mulanya tanah atau bumi Palestin ini tergadai dan dijual kepada Palestin.

Pada zaman pemerintahan Sultan Abd Hamid II, Sultan Turki terakhir, telah digubal undang-undang dan disahkan di Parlimen Turki bahawa semua tanah yang dimiliki oleh orang Arab di Palestin (ketika itu di bawah riayah Daulah Othmaniyah Turki) dilarang dijual kepada Yahudi.

Ini menimbulkan kemarahan British dan Perancis, justru kerana dua negara Eropah itu mahu memperkukuh kedudukan masa depan Yahudi di negara Palestin.

Namun setelah kejatuhan Daulah Othmaniyah Turki, undang-undang itu dimansuhkan oeh Kemal Attaturk yang merampas kuasa. Lalu dengan pantas orang Yahudi di Palestin berebut-rebut membeli tanah orang Arab di sana, sementara orang Arab Palestin itu sendiri rela pula menjual tanah mereka.

Dengan itu banyak tanah hak milik Arab Palestin bertukar tangan menjadi hak milik Yahudi hingga kini.

Tanah itu kini didiami oleh orang Yahudi, ditambah pula wujudnya penempatan baru, iaitu tanah yang dirampas dari rakyat Palestin sendiri. Demikianlah sejarah hitam bumi Palestin.

Maka itu ketika Israel menguatkan cengkamannya di bumi para anbia ini, dalam usaha mereka hendak menghapuskan rakyat Palestin, wajar kita merenung semua sejarah pahit ini. Namun pandangan An-Nadawi ini sangat wajar diberikan perhatian.

Saturday, February 28, 2009

Gerakan mahasiswa dan surah 'Abasa

As-syahid Syed Qutb Rahimahullah dalam karya agungnya Tafsir Fi Zilal Quran menceritakan asbabun nuzul (sebab turun ayat) surah 'Abasa:

Abdullah Ibnu Ummi Maktum RA yang buta itu tidaklah dapat melihat Rasulullah s.a.w. yang memasamkan muka kepadanya semasa baginda asyik memberi tumpuan kepada golongan pembesar Arab Quraisy yang menjadi target "back bone" dalam menegakkan Daulah Islamiah di Madinah.

Rasulullah s.a.w. tidak silap dalam meletakkan aulawiyyat, memilih sasaran dakwah dikalangan mereka yang tegap ekonomi dan kuasa mereka, namun Allah tetap juga menegur baginda yang seolah terlupa kepada Abdullah Ibnu Ummi Maktum yang punya ketulusan hati untuk berjumpa dengan baginda.

Kelihatan remeh

Peristiwa ini kelihatannya seperti kecil dan remeh sahaja, tidaklah sehebat kisah peperangan Badar atau segemilang peristiwa pembukaan Makkah. Namun sekecil apa pun yang dinukilkan Allah taala dalam firmanNya, tetap mempunyai hikmah yang begitu agung. Allah taala mengungkap dalam bentuk singgungan secara sinis tetapi telus.

Tanpa selindung lagi, Rasulullah s.a.w. ditegur sebagai ingatan yang berkekalan buat diri baginda dan ummatnya. Ingatan buat pengikut setia yang juga bakal meneruskan tugas dakwah kepada sesiapa sahaja tanpa mengira darjat dan kedudukan. Ternyata impak dari peristiwa ini cukup besar.

Peristiwa ini memberi petunjuk samada di sudut akhlak, pendekatan dan strategi dakwah dalam pembinaan ummah dan negara islam itu sendiri.

Surah yang dirakam secara "gentleman" begitu rupa, zahirnya seolah bakal mencalar imej dan reputasi Rasulullah s.a.w. Namun pengajarannya itulah yang perlu dihirup sepenuhnya. Terutama kepada penerus risalah agung ini seperti pimpinan gerakan islam mahupun pimpinan negara, wajar sekali membuat penelitian dalam mengambil kira sasaran dakwah tanpa memilih bulu.

Tiada siapa nafikan, "pendedahan berani" dalam surah ini begitu berat untuk ditanggung jika ianya berlaku kepada kita yang berjiwa kerdil ini. Ianya ditayangkan sepanjang zaman, dibaca sepanjang zaman dan diperdengarkan kepada orang ramai di sepanjang zaman.

Namun bagi Rasulullah s.a.w. yang berjiwa besar itu, sudah tentu baginda pasrah dan redha terhadap teguran Allah yang Maha Bijaksana lagi Maha Penyayang. Baginda sangat berkeyakinan Al-Quran itu tidak lain adalah pedoman kepada umat baginda jua.

Inilah juga bukti kasih sayang Allah taala yang saban hari terus menerus mengetuk hati nurani insan. Betapa perlunya bashirah atau celik hati nurani ini dibuka dan disingkap hijabnya untuk memahami, mengingati dan menyedarkan kita terhadap isi kandungan al-Quran.

Kesilapan sendiri

Juga membuktikan Al-Quran bukanlah ciptaan baginda. Mana mungkin seorang penulis akan menulis kesilapan diri sendiri secara terbuka dan terus terang begitu.

Untuk apa surah ini perlu direnungi sedalamnya? Terutama kepada pimpinan gerakan islam dan negara. Sudah tentulah hikmah Allah Taala menggambarkan peristiwa setelus ini menuntut pemerhatian mendalam kepada kita semua dalam mengharungi perjuangan islam yang penuh simpang siur ini.

Sememangnya manusia mudah dan cepat terkesan dengan kehebatan dan kekuasaan yang tiba-tiba terjongol di depan mata. Pembesar mana yang tidak teruja apabila dapat berjumpa dan ngobrol-ngobrol dengan pembesar dan saudagar-saudagar yang lain? Dan pembesar mana yang begitu betah untuk melayan anak-anak mentah dan budak-budak hingusan?

Lantas mereka sering memandang remeh dan enteng sesuatu yang dikira masih jauh dan mentah. Kelompok pimpinan negeri mahupun negara merasakan kuasa dan jawatan dalam pemerintahan mereka adalah suatu singgahsana yang begitu gah dan menawan hati.

Telahan mudah kepada mereka ini: "Mungkin mereka mengagak, dengan mengendung kuasa, mereka dapat membuat perubahan dengan menukar sistem, undang-undang dan polisi negara." Ya, kelihatan ada benarnya.

Namun barang diingat, kelangsungan mana-mana sistem dan polisi negara amat bergantung kepada penggerak dan pendokongnya. Siapakah lagi penggerak dan pendokongnya yang paling ampuh dan diharapkan kalau bukan anak muda yang berpendidikan?

Kepimpinan kelompok mahasiswa

Mutakhir ini, kelihatan jarang-jarang atau kadang-kadang sahaja kelompok mahasiswa ini diberi perhatian dan dibangunkan kepimpinan mereka. Mahasiswa kini seakan diabaikan, kehilangan punca, semakin lesu dan dinafikan suara dan jeritan mereka.

Di pihak Aspirasi pula, mereka terlalu dimanjakan dan disesatkan arah tuju perjuangan tulen mereka oleh Kementerian Pengajian Tinggi. Seakan lembu yang diikat hidungnya layaknya. Peruntukan KPT dihambur sesuka hati walaupun untuk projek pesta-pestaan.

Satu pihak diabaikan dan satu pihak disesatkan!

Soalnya, di manakah pula kecacatan anggota fizikal mahasiswa sehingga mereka juga tiada tempat dalam senarai keutamaan kelompok pimpinan? Mahasiswa tidak dipandang walaupun dengan sebelah mata. Isu-isu kebajikan mereka seperti biasiswa, PTPTN, Pilihan Raya Kampus, AUKU begitu menekan alam kampus. Apatah lagi isu kepimpinan dan daya juang yang semakin terperosok, hilang arah, tidak diketahui hujung pangkalnya.

Adakah masyarakat negara ini dapat merasai kehadiran dan kepimpinan mahasiswa? Kalau setakat terpegun dan puas dengan program baktisiswa, keluarga angkat yang dah lapuk itu, manakan mampu mungubah landskap kepimpinan negara. Malah mereka kerap sekali dimomokkan dengan masalah-masalah sosial dan pembawa masalah kepada masyarakat.

Mahasiswa adalah sasaran itu. Ya, mereka adalah kelompok yang tidak dbela kerana dilihat masih mentah dan belum diketahui bagaimana masa depan dan hasilnya nanti. Sedangkan suatu ketika dahulu, (biarlah, orang nak kata mengungkit) ketika sesetengah kelompok pimpinan pembangkang pernah ditimpa hiba, duka nestapa, ramai juga dikalangan mahasiswa yang tampil membela di jalanan, menjerit erti keadilan dan menyanggah kezaliman.

Memang manusia yang singkat akal budinya mudah tersilau dengan tahta yang segera dan mereka tidak begitu sabar untuk menghayun buaian seorang bayi kerana ianya amat memenatkan malah cukup melecehkan.

Menghisab kebenaran

Ada kalangan teman-teman mahasiswa bertanya soalan yang kelihatan main-main tapi wajar juga dihisab kebenarannya, mengapa tuntutan untuk memenangi pilihanraya kecil lebih kuat pekikannya berbanding usaha bersungguh untuk membina dan membela jenerasi pelapis yang bakal menggegarkan negara suatu hari nanti?

Apa jadi dengan mahasiswa di KUIS dan UNISEL? Masih hanyut dengan gejala sosial atau masih takut-takut nak susun program usrah? Sedang kuasa sudah di tangan!

Masing-masing berhak memberi jawapan yang berbeza.

Apa pun jawapannya, jika ketidakpedulian sejenak Rasulullah s.a.w. terhadap Abdullah Ibnu Ummi Maktum RA yang buta itu pun ditegur Allah taala!

Apakah pimpinan gerakan islam dan pimpinan negeri yang jelas mengabaikan nasib mahasiswa kini tidak akan ditegur Allah taala di akhirat nanti?