Saturday, February 28, 2009

Gerakan mahasiswa dan surah 'Abasa

As-syahid Syed Qutb Rahimahullah dalam karya agungnya Tafsir Fi Zilal Quran menceritakan asbabun nuzul (sebab turun ayat) surah 'Abasa:

Abdullah Ibnu Ummi Maktum RA yang buta itu tidaklah dapat melihat Rasulullah s.a.w. yang memasamkan muka kepadanya semasa baginda asyik memberi tumpuan kepada golongan pembesar Arab Quraisy yang menjadi target "back bone" dalam menegakkan Daulah Islamiah di Madinah.

Rasulullah s.a.w. tidak silap dalam meletakkan aulawiyyat, memilih sasaran dakwah dikalangan mereka yang tegap ekonomi dan kuasa mereka, namun Allah tetap juga menegur baginda yang seolah terlupa kepada Abdullah Ibnu Ummi Maktum yang punya ketulusan hati untuk berjumpa dengan baginda.

Kelihatan remeh

Peristiwa ini kelihatannya seperti kecil dan remeh sahaja, tidaklah sehebat kisah peperangan Badar atau segemilang peristiwa pembukaan Makkah. Namun sekecil apa pun yang dinukilkan Allah taala dalam firmanNya, tetap mempunyai hikmah yang begitu agung. Allah taala mengungkap dalam bentuk singgungan secara sinis tetapi telus.

Tanpa selindung lagi, Rasulullah s.a.w. ditegur sebagai ingatan yang berkekalan buat diri baginda dan ummatnya. Ingatan buat pengikut setia yang juga bakal meneruskan tugas dakwah kepada sesiapa sahaja tanpa mengira darjat dan kedudukan. Ternyata impak dari peristiwa ini cukup besar.

Peristiwa ini memberi petunjuk samada di sudut akhlak, pendekatan dan strategi dakwah dalam pembinaan ummah dan negara islam itu sendiri.

Surah yang dirakam secara "gentleman" begitu rupa, zahirnya seolah bakal mencalar imej dan reputasi Rasulullah s.a.w. Namun pengajarannya itulah yang perlu dihirup sepenuhnya. Terutama kepada penerus risalah agung ini seperti pimpinan gerakan islam mahupun pimpinan negara, wajar sekali membuat penelitian dalam mengambil kira sasaran dakwah tanpa memilih bulu.

Tiada siapa nafikan, "pendedahan berani" dalam surah ini begitu berat untuk ditanggung jika ianya berlaku kepada kita yang berjiwa kerdil ini. Ianya ditayangkan sepanjang zaman, dibaca sepanjang zaman dan diperdengarkan kepada orang ramai di sepanjang zaman.

Namun bagi Rasulullah s.a.w. yang berjiwa besar itu, sudah tentu baginda pasrah dan redha terhadap teguran Allah yang Maha Bijaksana lagi Maha Penyayang. Baginda sangat berkeyakinan Al-Quran itu tidak lain adalah pedoman kepada umat baginda jua.

Inilah juga bukti kasih sayang Allah taala yang saban hari terus menerus mengetuk hati nurani insan. Betapa perlunya bashirah atau celik hati nurani ini dibuka dan disingkap hijabnya untuk memahami, mengingati dan menyedarkan kita terhadap isi kandungan al-Quran.

Kesilapan sendiri

Juga membuktikan Al-Quran bukanlah ciptaan baginda. Mana mungkin seorang penulis akan menulis kesilapan diri sendiri secara terbuka dan terus terang begitu.

Untuk apa surah ini perlu direnungi sedalamnya? Terutama kepada pimpinan gerakan islam dan negara. Sudah tentulah hikmah Allah Taala menggambarkan peristiwa setelus ini menuntut pemerhatian mendalam kepada kita semua dalam mengharungi perjuangan islam yang penuh simpang siur ini.

Sememangnya manusia mudah dan cepat terkesan dengan kehebatan dan kekuasaan yang tiba-tiba terjongol di depan mata. Pembesar mana yang tidak teruja apabila dapat berjumpa dan ngobrol-ngobrol dengan pembesar dan saudagar-saudagar yang lain? Dan pembesar mana yang begitu betah untuk melayan anak-anak mentah dan budak-budak hingusan?

Lantas mereka sering memandang remeh dan enteng sesuatu yang dikira masih jauh dan mentah. Kelompok pimpinan negeri mahupun negara merasakan kuasa dan jawatan dalam pemerintahan mereka adalah suatu singgahsana yang begitu gah dan menawan hati.

Telahan mudah kepada mereka ini: "Mungkin mereka mengagak, dengan mengendung kuasa, mereka dapat membuat perubahan dengan menukar sistem, undang-undang dan polisi negara." Ya, kelihatan ada benarnya.

Namun barang diingat, kelangsungan mana-mana sistem dan polisi negara amat bergantung kepada penggerak dan pendokongnya. Siapakah lagi penggerak dan pendokongnya yang paling ampuh dan diharapkan kalau bukan anak muda yang berpendidikan?

Kepimpinan kelompok mahasiswa

Mutakhir ini, kelihatan jarang-jarang atau kadang-kadang sahaja kelompok mahasiswa ini diberi perhatian dan dibangunkan kepimpinan mereka. Mahasiswa kini seakan diabaikan, kehilangan punca, semakin lesu dan dinafikan suara dan jeritan mereka.

Di pihak Aspirasi pula, mereka terlalu dimanjakan dan disesatkan arah tuju perjuangan tulen mereka oleh Kementerian Pengajian Tinggi. Seakan lembu yang diikat hidungnya layaknya. Peruntukan KPT dihambur sesuka hati walaupun untuk projek pesta-pestaan.

Satu pihak diabaikan dan satu pihak disesatkan!

Soalnya, di manakah pula kecacatan anggota fizikal mahasiswa sehingga mereka juga tiada tempat dalam senarai keutamaan kelompok pimpinan? Mahasiswa tidak dipandang walaupun dengan sebelah mata. Isu-isu kebajikan mereka seperti biasiswa, PTPTN, Pilihan Raya Kampus, AUKU begitu menekan alam kampus. Apatah lagi isu kepimpinan dan daya juang yang semakin terperosok, hilang arah, tidak diketahui hujung pangkalnya.

Adakah masyarakat negara ini dapat merasai kehadiran dan kepimpinan mahasiswa? Kalau setakat terpegun dan puas dengan program baktisiswa, keluarga angkat yang dah lapuk itu, manakan mampu mungubah landskap kepimpinan negara. Malah mereka kerap sekali dimomokkan dengan masalah-masalah sosial dan pembawa masalah kepada masyarakat.

Mahasiswa adalah sasaran itu. Ya, mereka adalah kelompok yang tidak dbela kerana dilihat masih mentah dan belum diketahui bagaimana masa depan dan hasilnya nanti. Sedangkan suatu ketika dahulu, (biarlah, orang nak kata mengungkit) ketika sesetengah kelompok pimpinan pembangkang pernah ditimpa hiba, duka nestapa, ramai juga dikalangan mahasiswa yang tampil membela di jalanan, menjerit erti keadilan dan menyanggah kezaliman.

Memang manusia yang singkat akal budinya mudah tersilau dengan tahta yang segera dan mereka tidak begitu sabar untuk menghayun buaian seorang bayi kerana ianya amat memenatkan malah cukup melecehkan.

Menghisab kebenaran

Ada kalangan teman-teman mahasiswa bertanya soalan yang kelihatan main-main tapi wajar juga dihisab kebenarannya, mengapa tuntutan untuk memenangi pilihanraya kecil lebih kuat pekikannya berbanding usaha bersungguh untuk membina dan membela jenerasi pelapis yang bakal menggegarkan negara suatu hari nanti?

Apa jadi dengan mahasiswa di KUIS dan UNISEL? Masih hanyut dengan gejala sosial atau masih takut-takut nak susun program usrah? Sedang kuasa sudah di tangan!

Masing-masing berhak memberi jawapan yang berbeza.

Apa pun jawapannya, jika ketidakpedulian sejenak Rasulullah s.a.w. terhadap Abdullah Ibnu Ummi Maktum RA yang buta itu pun ditegur Allah taala!

Apakah pimpinan gerakan islam dan pimpinan negeri yang jelas mengabaikan nasib mahasiswa kini tidak akan ditegur Allah taala di akhirat nanti?

Carilah jodoh beragama, sabda Rasulullah s.a.w

Rasulullah s.a.w pernah bersabda, "Seorang wanita itu dinikahi kerana empat; kerana harta, kerana keturunannya, kecantikannya dan agamanya. Maka hendaklah diutamakan yang beragama, nescaya kamu berbahagia."

Hadith ini telah diriwayatkan oleh kedua-kedua Imam Bukhari dan Imam Muslim dalam kitab sahih mereka serta imam hadis yang lain.

Ada empat nilai dan ciri wanita yang dipilih untuk dijadikan pasangan jodoh bagi lelaki. Meninjau hadis ini, terpantul beberapa pertanyaan di fikiran kita. Antaranya, apakah kaum wanita tidak berhak membuat pilihan yang sama?

Sedangkan al-Quran meletakkan kedudukan lelaki dan wanita itu sama. Dan, beza fizikal serta mental antara mereka itulah yang menyebabkan wujudnya beberapa perbezaan, cara syariat antara mereka.

Timbul persoalan.. apakah wanita tidak memiliki hak yang sama untuk memilih pasangan mereka berdasarkan keempat-empat ciri itu? Contohnya, mereka sendiri berhak memilih lelaki yang berharta, berketurunan baik, kacak dan taat beragama.

Maka, jawapannya..wanita sendiri juga berhak menentukan pilihan jodoh masing-masing kerana daripada segi hak, mereka mempunyai jiwa, perasaan dan citarasa yang sama juga seperti kaum lelaki.

Berharta
Syor supaya menikahi wanita berharta ini, jika tidak ditafsirkan dengan betul-betul akan menyebabkan orang menganggap bahawa lelaki yang tidak berharta (miskin) digalakkan menikahi wanita hartawan. Ini menyebabkan lelaki disifatkan sebagai pengikis harta!

Demikian juga, jika dikatakan, bahawa wanita itu digalakkan untuk menikahi lelaki yang berharta, kelak wanita itu digelar sebagai perempuan yang mengejar kebendaan pula.

Sementara itu, bukankah janda-janda, balu-balu miskin yang tak terbela digalakkan untuk dinikahi untuk membela nasib mereka? Maka, di sini sudah ada percanggahan sikap dan nilai yang dianjurkan oleh Islam itu.

Jadi, apakah tafsiran yang mungkin sesuai ke atas syor Rasulullah ketika menggalakkan lelaki memiliki wanita yang berharta itu?

Atau, apakah tafsiran yang sesuai berhubung galakan dan anjuran supaya wanita memilih kaum Adam yang berharta itu?

Mungkin, tafsiran yang sesuai adalah baik lelaki dan wanita itu perlu mencari pasangan yang tahu mengendalikan harta, membina harta kekayaan dan bukan hanya semata-mata berharta sebelum menjalani kehidupan berumahtangga.

Keturunannya
Adapun keturunan ini pula bukanlah diperhitungkan daripada segi kasta, kebangsawanan, kedudukannya dalam masyarakat. Ia tentulah diperhitungkan daripada segi nasab turunan seseorang yang tidak bercampur dengan penzinaan.

Apa ertinya.. memilih seorang lelaki dan wanita daripada keturunan yang bangsawan tapi mengalir di dalam tubuhnya darah seorang penzina. Timbul pertanyaan lagi. Adakah jika wanita atau lelaki penzina itu telah bertaubat, maka mereka boleh dinikahi?

Maka, dalam hal ini, sekiranya benar-benar terdapat kesan-kesan taubat itu. Dan nikah itu dapat mengelakkan lelaki dan wanita penzina tadi daripada terus berzina maka boleh juga dipertimbangkan untuk menikahi mereka.

Kecantikannya
Kecantikan wanita atau kekacakan seorang pemuda bersifat subjektif. Seseorang melihat wanita yang kurang cantik, mungkin cantik dalam pandangan lelaki lain. Demikian juga seorang lelaki yang kurang kacak dalam pandangan seseorang wanita, mungkin kelihatan kacak dalam pandangan wanita lain.

Maka, memilih yang cantik itu sememangnya naluri semulajadi manusia. Islam itu adalah agama fitrah. Manusia itu, sama ada lelaki atau perempuan, memang sukakan kecantikan. Dan, hal ini tidaklah menyalahi kemanusiaan.

Ada orang melihat kecantikan akhlak, tutur bicara dan sikap akhlak seseorang. Semua ini adalah daya penarik yang akan mengeratkan hubungan kedua-dua pasangan itu.

Agama
Akhirnya nilai agama itulah yang paling penting sekali dan terutama dalam pemilih calon pasangan itu. Tanpa agama, keluarga yang dibina akan hilang pedoman.

Agama pula bukan dilihat semata-mata pada ketinggian ilmu pengajian agama di institusi pengajian tinggi agama. Seseorang yang beragama itu memadailah dilihat daripada sikap mereka yang cuba mengelakkan diri daripada terjebak ke dalam kancah jenayah.

Mereka yang terjebak dalam disa-dosa kecil tidaklah boleh dianggap sebagai orang yang tidak beragama. Ini kerana, tiada manusia yang terbebas daripada silap dan salah.

Memadailah kita sebutkan di sini bahawa orang yang beragama itu adalah mereka yang berdosa dan sentiasa memperbaharui taubatnya.

Friday, February 6, 2009

Islam Hadhari penuh dengan ciri kezaliman...

Islam yang pernah menguasai wilayah yang begitu besar dan luas dari bekas jajahan takluk dua kuasa besar dunia, Rom dan Parsi, begitu juga wilayah lain, telah memerintah dengan adil sehingga Islam dikira menjadi penyelamat dan pembebas bangsa yang dijajah.
Sebelum kedatangan Islam, mereka telah diperintah dengan begitu zalim oleh kerajaan sebelumnya. Kerajaan Islam telah diterima oleh penduduk dengan penuh sukarela dalam keadaan mereka tidak dipaksa menganut Islam.
Mereka telah berpegang dan beramal dengan agama asal masing-masing. Mereka juga dibenarkan bekerja dan memiliki harta. Kerajaan Islam diwajibkan berlaku adil terhadap mereka. Ini adalah perintah agama Islam yang sentiasa mengambil kira perhitungan dosa dan pahala di hadapan Allah, bukan kerana maslahah duniawiyyah.
Sikap ini telah menyebabkan penduduk di wilayah yang diperintah telah menerima sistem Islam secara rela hati. Sehingga hari ini masih terdapat keturunan asal warga bukan Islam yang terus menganut agama mereka dan juga masih terdapat rumah-rumah ibadat mereka yang dibina sejak ribuan tahun yang lalu tanpa diroboh dan diganggu-gagat oleh kerajaan Islam.
Suasana ini masih terdapat di Mesir, Yaman, Parsi (Iran), India dan lian-lain. Selepas pembukaan wilayah baru Islam, hanya segelintir pegawai Islam ditinggalkan menjadi pemimpin dan pentadbir di tengah-tengah majoriti besar masyarakat bukan Islam.
Warga bukan Islam di wilayah-wilayah baru ini lebih rela berada di bawah pemerintahan Islam, dan akhirnya menganut Islam.
Bangsa-bangsa yang menganut Islam, begitu juga yang kekal dengan agama asal telah memberi sumbangan besar kepada Hadrah Islamiyah dalam segenap bidang.
Terdapat di kalangan keturunan mereka yang menganut Islam telah menjadi ulama terbilang seperti imam Bukhari, Muslim, Tirmizi, Al-Ghazali dan lain-lain. Selain menjadi tokoh dalam bidang ilmu agama, ramai dari mereka yang menjadi tokoh ilmu duniawi seperti Ibnu Sina dan Al-Khawarazmi.
Mereka ini bukan dari kalangan berbangsa Arab, tetapi turut sama memberi sumbangan yang besar menyalurkan ilmu ke dalam bahasa Arab ikut melahirkan Hadrah Islamiyah.
Islam Hadhari ciptaan Umno mundur ke belakang
Buku-buku dalam bahasa asing telah diterjemah ke dalam bahasa Arab. Istilah berbagai ilmu juga ditukar ke dalam bahasa Arab. Bukan seperti Islam Hadhari ciptaan Umno, mundur ke belakang kepada suasana zaman penjajahan, dengan menggalakkan penggunaan bahasa Inggeris.
Bahkan mereka bertindak lebih daripada penjajah seperti melaksanakan strategi bagi mematikan penggunaan huruf jawi. Cara yang mereka lakukan ini begitu membahayakan akidah dan budaya. Melalui perdagangan ilmu, mereka telah menjual maruah bangsa dan bahasa sendiri.
Sesungguhnya Islam telah berjaya mengumpulkan ilmu yang diambil daripada pelbagai bangsa dan bahasa. Isinya ditajdidkan semula dengan disadurkan prinsip dan sifat Islam.
Selain dari itu, ilmu-ilmu tadi telah diterjemah ke dalam bahasa Islam (Arab) oleh para ilmuan Islam terbilang, yang akhirnya telah berjaya melahirkan Hadrah Islamiyah yang berbeza dengan tamadun yang lain.
Bertolak daripada keadilannya yang menguasai hati manusia yang bersirikan Islam, maka bangsa dan negeri yang menganut Islam telah menjadi penyumbang kepada Hadrah Islamiyah.
Sementara Islam Hadhari ciptaan Umno, sebenarnya penuh dengan ciri-ciri kezaliman. Undang-undang yang digubal melalui akta-akta sebenarnya tidak bersifat Hadharah (tamadun). Undang-undang yang digubal lebih bermatlamat untuk menjaga kedudukan dan kepentingan kerajaan dan pemimpin-pemimpinnya.
Selain dari itu ianya bertujuan untuk mengongkong kebebasan ilmu, melalui akta universiti yang menekan para pensyarah dan pelajar. Mereka membelenggu media, menutup penyelewengan mereka di atas nama menjaga rahsia rasmi (OSA), tetapi sebenarnya menjaga dan melindung tokoh-tokoh yang tidak bermaruah.
Mereka akan bertindak ke atas sesiapa sahaja kalau dikritik dengan tajam, walaupun isinya benar. Tindakan yang dilakukan adalah di atas nama keselamatan dalam negeri (ISA) dan lain-lain.
Semuanya ini adalah langkah yang membantut perkembangan intelektual dan kebijaksanaan rakyat bagi melahirkan hadrah (tamadun). Kalaupun Islam Hadahri ini berjaya mencapai kemajuan kebendaan, ia hanya akan membakar diri sendiri senasib dengan tamadun jahiliayah pada zaman silam.
Peristiwa kehakiman yang menimpa mantan Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Anwar Ibrahim adalah lembaran sejarah jahiliyah moden yang menconteng kemurnian badan kehakiman yang sepautnya wajib dipertahan dan dipelihara.
Lebih malang lagi apabila maruah sudah tidak ada dalam kehidupan. Semua pihak yang tidak peka dengan peristiwa seperti ini wajar ditanya ke mana perginya iman seperti yang disifatkan oleh Rasulullah s.a.w yang bermaksud : "Tiadalah seorang Nabi yang telah dibangkit oleh Allah sebelumku, melainkan Allah mengadakan baginya di kalangan umatnya para pengikut yang setia dan para sahabat yang mengambil ajarannya dan mengikut perintahnya, kemudian tinggallah selepas mereka (setelah Nabi tu wafat), pengikut yang menyeleweng, mereka berkata apa yang tidak dilakukan (dalam keadaan ada kemampuan) dan melakukan apa yang tidak diperintah (oleh agama).
Maka sesiapa yang berjihad menentang (kemungkaran) dengan tangannya, maka dia beriman, yang berjihad dengan lidahnya dia beriman dan yang berjihad dengan hatinya juga dia beriman, tidak ada lagi iman selepas itu walaupun sebenar biji yang paling halus." (Hadis riwayat Imam Muslim)
Seterusnya amaran Rasulullah s.a.w yang bermaksud: "Apabila kamu melihat umatku merasa kegerunan (tidak ada yang berani) berkata kepada si zalim : Wahai si zalim! Maka diucap selamat tinggal kepada mereka. Mengikut riwayat yang lain, perut bumi lebih baik dari permukaannya (lebih baik ditimbus ke dalam kubur." Hadis riwayat Imam Ahmad.

Golongan sesat di kalangan umat Islam...

Rasulullah s.a.w. telah meninggalkan umatnya sejak empat belas abad yang lalu, iaitu satu tempoh yang agak lama, sepeninggalan baginda sebenarnya telah memberikan banyak input mengenai Islam dalam bentuk yang mudah difahami, apatah lagi umat hari ini yang boleh disifatkan sebagai golongan manusia yang mudah untuk memahami sesuatu, kerana mereka semakin cerdik.
Namun begitu, apa yang sepatutnya diharapkan dari umat ini ialah bagaimana mereka boleh menjadi individu-individu yang terbaik dalam segenap aktiviti atau agenda harian hidup mereka, kerana peluang dan kesempatan untuk mereka menggarap khazanah ilmu peninggalan baginda Rasulullah s.a.w. terbentang luas, sepatutnya mereka boleh jadi lebih baik dibandingkan umat terdahulu, sama ada di kalangan para sahabat, tabiin dan generasi selepas itu.
Tetapi apa yang dapat dilihat di kalangan umat Islam hari ini, mereka semakin menjadi lemah tidak keharuan, jumud (beku) cara berfikirnya, malah ada yang tersasar jauh daripada ajaran Islam sebenar, akibat tidak duduk dalam majlis-majlis ilmu atau bersama dengan golongan yang mampu mengingatkan mereka kepada Allah SWT.
Benarlah apa yang disabdakan oleh baginda Rasulullah s.a.w., bahawa akan datang satu masa (dianggarkan masa itu ialah pada hari ini), ramai di kalangan umat Islam menjauhkan diri daripada golongan ulama (tidak mahu memperdalami ilmu agama), tindakan mereka itu sebenarnya telah mengundang kemarahan Allah, dan Allah timpakan tiga bala ke atas diri mereka, iaitu Allah akan menarik segala sumber keberkatan dalam usaha/pekerjaan yang dilakukan, mereka akan diperintah oleh para pemerintah yang zalim dan mereka akan meninggalkan dunia ini dengan tidak membawa walaupun secebis iman dalam diri mereka.
Justeru, tidak hairanlah jika mereka bertindak sesuatu yang menyalahi ajaran agama Islam, akibat daripada menjauhkan diri daripada ulama yang merupakan pewaris nabi-nabi, malah mewarisi tugas, kerja, peranan nabi-nabi dalam menyampaikan kebenaran untuk menyeru manusia seluruhnya menerima Islam sebagai satu-satunya agama yang diperakui Allah SWT.
Sehubungan itu, baginda Rasulullah s.a.w. ada menegaskan dalam sebuah hadisnya yang bermaksud : ?Bagi orang yang mempelajari ilmu-ilmu agama, mereka akan berhadapan dengan (tiga) golongan yang mencabar keilmuan mereka, iaitu golongan yang menyeleweng daripada kebenaran agama Islam lagi melampaui batas-batas agama, golongan yang mencipta agama baru dan golongan yang jahil tentang Islam, tetapi cuba mentafsirkan Islam mengikut kepala mereka.
Jelas daripada apa yang ditegaskan oleh baginda, sesungguhnya bagi mereka yang benar-benar komited dengan Islam, berusaha untuk menyampaikannya kepada orang lain, tetapi pada masa yang sama akan berhadapan dengan golongan-golongan yang disifatkan oleh baginda sebagai anti kepada Islam yang mesti dibendung dengan apa cara sekalipun , lebih-lebih lagi golongan pemerintah.
Kenapa tidak, kerana golongan-golongan tersebut boleh memudaratkan akidah, pegangan, kepercayaan yang dianuti oleh orang-orang Islam yang lemah cara berfikirnya, dibimbangi akan mendatangkan musibah yang berpanjangan pada masa akan datang.
Kenyataan baginda di atas telah disebut seribu tahun yang lalu, tetapi ia dianggap segar dalam minda umat Islam yang sayangkan agama mereka, ini kerana golongan yang menyeleweng daripada kebenaran agama Islam lagi melampaui batas-batas agama semakin berleluasa dalam masyarakat, ia dapat dilihat dengan tindakan para pengusaha atau pengamal perfileman yang menerbitkan filem-filem yang dianggap tersasar jauh daripada kebenaran Islam dan sekaligus melampaui batas-batas agama Islam yang suci daripada sebarang bentuk penyelewengan.
Begitu juga dengan golongan yang mencipta agama baru, seperti lahirnya golongan yang mengaku menjadi nabi selepas Nabi Muhammad s.a.w., seperti Kahar Ahmad, Ayah pin dan lain-lain yang masih aktif dengan penyelewengan mereka yang sepatutnya dihukum sebagai terkeluar daripada agama Islam, namun penguatkuasaan ke atas mereka masih berada pada jalan buntu yang belum dirungkai.
Ini termasuk penyelewengan golongan yang cuba mentafsirkan Islam, sedangkan mereka sebenarnya jahil mengenainya, ia dapat dilihat seperti tindakan golongan liberisme, pluralisme, ,sisters in Islam, dan lain-lain yang jelas menunjukkan kejahilan mereka mengenai Islam, tetapi cuba mentafsirkan Islam yang jelas menyimpang jauh daripada landasan Islam sebenar.
Yang dibimbangkan, jika golongan-golongan berkenaan tidak dibendung dengan kadar segera oleh pihak berkuasa, lambat laun akan mempengaruhi umat khususnya di kalangan golongan remaja yang longgar ikatan dan hubungan mereka dengan Islam, kerana golongan-golongan berkenaan tidak pernah berdiam diri daripada berperanan untuk menyatakan pandangan mereka mengenai Islam mengikut acuan mereka yang tidak selari dengan islam yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w.

Islam Agama Manusia Sejagat..

Sejarah manusia dengan agama yang diredai Allah SWT untuk mereka, sentiasa dinodai dengan kuman-kuman yang disebarkan oleh syaitan dari zaman ke zaman.
Kerananya manusia sering dan berulang kali dihinggapi satu penyakit yang sangat parah iaitu penyakit yang disebut oleh Allah sebagai syirik lalu menjadi musyrik, di mana dengannya menjadikan manusia buta dari melihat, pekak dari mendengar dan beku dari memikirkan segala petunjuk Allah.
Istilah buta, pekak dan sebagainya adalah digunakan oleh Allah tanpa segan silu, kerana seluruh manusia yang dihadapkan kata-kata itu adalah hamba-hambaNya belaka.
Manusia pada hakikatnya ialah roh, yang kejadian dan kewujudannya, merupakan suatu daripada rahsia dari pengetahuan Allah SWT, dan di luar batas pengetahuan manusia.
Manusia yang wujudnya di alam nyata ini ialah hasil dari gabungan roh dan jasad, yang mana jasad itu baharu sahaja terjadi dan kesuburannya adalah bersumber kepada tanah dengan segala bahan-bahan yang terdapat di planet bumi ini.
Kehidupan manusia di bumi ini adalah kehidupan yang terlalu singkat, apabila diingatkan betapa roh mereka telahpun ada sejak beberapa lama sebelum kelahiran mereka ke dunia ini dalam bentuk jasmani dan rohani.
Allah menerangkan betapa semua roh itu telah ditanya : Tidakkah Aku ini Tuhan kamu? Dan sekelian roh menjawab : Benar sekali. Adapun pertanyaan dan jawapan ini telah lama sekali berlaku di alam yang tersendiri.
Manusia dengan jasadnya tanpa roh adalah bangkai yang terlalu busuk baunya sekiranya dibiarkan terdedah. Busuknya bau bangkai manusia jauh lebih busuk dari bangkai binatang-binatang yang lain.
Demikianlah manusia ini, mereka dicipta dan dilahirkan ke dunia melalui sebuah planet yang dinamakan ?al-Ardh? atau bumi dengan sebaik-baik kejadian.
Manusia dianugerah dengan akal dan budi bicara. Mereka dapat pula berkata-kata untuk menyampaikan sesuatu yang lahir dari pemikiran dan perasaan.
Mereka juga dilengkapi dengan kebolehan daya usaha dan daya cipta yang dapat mempergunakan segala benda yang disediakan oleh Allah, iaitu apa-apa yang ada di planet bumi ini bagi kepentingan mereka.
Semuanya ini adalah sebagai ujian kepada mereka, kemudian mereka akan dikembalikan kepada sebusuk-busuk bangkai, iaitu seburuk-buruk kejadian dan hancur luluh bersama tanah di bumi yang mereka dilahirkan.

Saidina Omar bin al-Khattab pernah berkata...

Saidina Omar bin al-Khattab pernah berkata maksudnya : ? Kekuatan/kemuliaan/keagungan Islam akan terhakis satu demi satu jika masih terdapat dalam agama Islam, orang Islam yang tidak kenal apa erti Jahiliyyah.?
Sesungguhnya bahaya yang cukup mengancam umat Islam dulu, kini dan selamanya walau di manapun mereka berada ialah, ancaman konsep kebaratan dalam segala aspek kehidupan mereka.
Perkara ini telah dijelaskan oleh seorang tokoh muslim kontemporari, iaitui Ustaz Anwar al-Jundi (Mesir) dalam bukunya Memahami konsep islam yang betul pada bab pertama, di mana beliau menegaskan bahawa, konsep kebaratan itu ialah menjadikan umat Islam dan Arab menerima pakai pemikiran yang bukan berorientasikan Islam sebagai paksi utama dan mungkin juga pemikiran yang diinspirasikan oleh puak barat secara total.
Pemikiran itu dijelmakan dalam bentuk Komunisme, Liberisme, Kapitalisme, Nasionalisme, Athisme dan berbaga-bagai isme ciptaan manusia yang meruntuh nilai-nilai harga diri manusia terhadap Pencipta mereka iaitu Allah SWT.
Malah ia menyumbang ke arah runtuhnya aspek kerohanian secara Islam atau cara berfikir islam yang sememangnya amat bertentangan dengan nilai negatif yang menjadikan manusia itu merasa bebas sepenuhnya tanpa ikatan dengan agama sepenuhnya.
Sesungguhnya matlamat atau tujuan utama kosep kebaratan ini ialah untuk menjauhkan orang Islam daripada berfikir secara Islam dengan rasa serba kekurangan dalam diri dan percaya ia berpotensi untuk dipertingkatkan, namun ia dirasakan sebagai satu agenda penting untuk tidak mampu bagi memajukan diri mereka keran ia telah dionarkan gambarannya di peringkat akar umbi lagi.
Bagi menghadapi ancaman bahaya tersebut, menjadi kewajipan ke atas setiap manusia bernama Islam untuk mengetahui serta memahami sedalam-dalamnya hakikat Islam itu sendiri yang sebenarnya memiliki ciri-ciri keistimewaan, sifat fitrah dan semula jadinya, konsep-konsep yang ada di dalamnya, faktor kualiti dan pada masa yang sama perlu mengetahui ancaman dunia barat yang sentiasa mencari ruang dan kesempatan bagi meruntuhkan aspek-aspek Islam.
Aspek pemikiran Islam yang berteras dan berpaksikan akar umbi dengan asal usul yang jelas dan matang mampu berdiri sendiri tanpa dibantu oleh anasir luar yang serba kekurangan dan ketandusan maklumat.
Yang menjadi duri dalam daging kepada Islam, terdapat segelintir pemikir bangsa Arab yang terikat penulisan mereka dengan unsur-unsur kebaratan, tetapi pada masa yang sama cuba dikaitkan dengan Islam yang kononnya ia boleh diintegrasikan, tetapi cara sedemikian sebenarnya akan memberi gambaran tentang Islam dalam bentuk yang menyimpang jauh dari keasliannya akibat kecetekan maklumat yang merugikan Islam itu sendiri.
Sehubungan itu, maka muncullah satu bentuk pendekatan yang bukan berasal dari barat dan bukan juga dari pengajaran Islam, malah ia merupakan satu pendekatan yang palsu direka cipta oleh golongan Yahudi Zionis yang terdapat dalam kitab Talmud (menggantikan kitab Taurat yang diturunkan ke atas Nabi Muasa a.s.) berasaskan kepada beberapa protocol yang disediakan khusus untuk meragukan orang Arab dan kaum muslimin.
Sesungguhnya manhaj keilmuan, kemasyarakatan, kejiwaan, berpolitik dan berekonomi yang telah digaris pandukan oleh barat mengandungi kelemahan yang amat ketara, ini kerana system barat mencampur-aukkan antara akal, hati, kebendaan, roh, dunia dan akhirat sebagai cara untuk menuju kesempurnaan.
Sedangkan aspek peningkatan bagi orang islam dalam membina manhaj tersebut, adalah berdasarkan kebenaran dan menuju ke arah kebenaran yang hakiki yang cuba diseleweng oleh Zionis di peringkat antarabangsa agar ia menjadi suatu pendekatan yang bersifat tidak Islamik.

Abdul Malik bin Marwan & Nilai-nilai kepimpinan

"Semulia-mulia manusia ialah orang yang mempunyai adab yang merendah diri ketika berkedudukan tinggi, memaaf ketika berdaya membalas dan bersikap adil ketika kuat." (Kata hikmah Khalifah Abdul Malik bin Marwan)
Pertama, merendah diri ketika berkedudukan tinggi. Kedua, memiliki sikap pemaaf saat mampu membalas dendam. Ketiga, bersikap adil ketika kuat.
Sebenarnya, ketiga-tiga nilai dan adab kesopanan seseorang penguasa ini sangatlah sukar untuk dilaksanakan. Ketiga-tiga nilai itu adalah merendah diri, pemaaf dan adil.
Sebelum kita melanjutkan perbahasan, ada baiknya juga kita mengenali peribadi Khalifah Abdul Malik bin Marwan ini secara ringkasnya.
Sedikit ringkasan berhubung Abdul Malik bin Marwan Khalifah Abdul Malik bin Marwan dilahirkan pada tahun 26 Hijrah (646 Masihi). Ibunya bernama Aisya bt. Mu'awiyah b. al-Mughira.
Ketika beliau berusia 16 tahun, Abdul Malik b. Marwan telah mengetuai pasukan tentera Madinah melawan Byzantine ketika pemerintahan Mu'awiyah.
Beliau adalah khalifah Bani Umayyah yang kelima yang memerintah dari tahun 65 Hijrah - 86 Hijrah (685 - 705 Masihi).
Khalifah Abdul Malik b. Marwan sempat melakukan pembaharuan seperti mengeluarkan matawang mas, mengumpul kembali Mushaf Uthman, dan lain-lain. Pada akhir hayatnya, Abdul Malik b. Marwan berhasrat melantik anaknya Al-Walid bin Abdul Malik sebagai Khalifah. Pada zamannya juga Qubbat As-Sakhrah telah dibina di Baitulmuqaddis.
Tidak diketahui apakah yang menyebabkan Khalifah Abdul Malik bin Marwan menyebut tiga perkara ini. Dan, yang paling penting, kepada siapakah ia ditujukan?
Merendah diri pada kedudukan tinggiMari kita teliti bersama. Pada ketika seseorang penguasa itu berada pada kedudukan yang sangat tinggi, mudahkah dia merendah diri..
Mungkin ada yang masih dapat merendah diri, tapi tak ramai penguasa yang boleh dengar pandangan orang ketika mereka sudah berada di puncak kekuasaan. Rata-ratanya, mereka melihat pandangan orang bawahan itu bagaikan sampah.
Turun padang tidak menggambarkan sikap merendah diri. Pada zaman ini, politikus hebat berlakon. Penguasa turun padang, beramah mesra dan berjabat tangan dengan rakyat. Hal ini masih belum menunjukkan mereka merendah diri.
Merendah diri itu bukanlah dengan jalan tunduk, terbongkok-bongkok di hadapan tetamu, bersuara lembut dan lunak kepada khalayak. Tetapi, ia dinilai dalam mesyuarat dan syura antara komuniti masyarakatnya. Adakah mereka boleh dengar pendapat bawahan?
Jadi, jalan turun padang, bersalaman dengan orang-ramai seperti yang ditunjukkan dalam tv itu bukan kayu ukur yang kuat, untuk mengesahkan sikap, af'al merendah diri.
Apalah ertinya Hishammuddin Tun Hussein turun padang, bersalaman dengan guru-guru sekolah, tetapi raungan guru-guru, ibu bapa, murid-murid yang mendesak supaya PPSMI dimansuhkan tidak dipedulikan beliau.
Kalau dibuat pungutan suara di sekolah-sekolah rendah, nescaya Hisham akan mendapati bahawa kebanyakan pelajar dan guru-guru tak merelakan matapelajaran mereka dicemari oleh dasar PPSMI yang tertegak, dibangunkan tanpa dasar teori yang kukuh itu.
Bekas Menteri Pelajaran Tun Abdul Rahman Yaakob dalam satu kenyataannya baru-baru ini berkata beliau membantah keras dasar PPSMI ini.
Kalau Hishammuddin benar-benar punya sikap merendah diri tentulah dia bermuzakarah, berdebat dengan bekas menteri pelajaran; Tun Abdul Rahman Yaakob seperti mana debat mengenai kenaikan harga minyak melibatkan Anwar dan Shabery Cheek di TV9.
Tapi, jika diwujudkan usaha untuk berdebat seperti itu pun, Hisham tentu tak akan pergi. Pertama, dia takut. Kedua, beliau tidak dapat merendah diri seperti sepupunya Najib yang enggan berdebat dengan Anwar tentang isu kenaikan harga minyak dahulu.
Memaafkan musuh ketika berdaya membalasSikap kedua ialah, memaafkan musuh ketika berkuasa. Jika hal ini terlaksana, rakyat kita pasti bertambah lega dan aman. Ini kerana, telah wujud kecenderungan di pihak penguasa untuk menghukum rakyat apabila mereka tidak dipilih oleh rakyat.
Dalam mana-mana keadaan, kita dapat melihat bahawa kebanyakan penguasa berdendam dengan rakyatnya. Dan dengan sebab itulah rakyat jadi berdendam dengan penguasa.
Tidak dapat tidak, kita mesti mengakui bahawa sahabat-sahabat nabilah antara yang amat baik dijadikan contoh teladan dalam hal ini. Saidina Ali k.w misalnya pernah dalam suatu peperangan, beliau hampir membunuh seorang Yahudi.
Demi melihat Yahudi itu meludah ke arah wajahnya, maka Ali tak jadi membunuh. Maka hal itu tentu sahaja membenihkan pertanyaan dalam dadanya.
"Apa yang menyebabkan engkau tidak jadi membunuhku?" tanya lelaki itu.
Maka, jawab Ali, "Kami diperintahkan berperang di jalan Allah. Tapi, saat kau meludahi wajahku, aku khuatir membunuhmu kerana dendam dan bukan kerana Allah."
Terpesona dengan perawakan dan kejernihan hati si sahabat yang dibina peribadinya oleh madrasah Rasulullah itu, maka si Yahudi pun mula lembut hatinya memeluk Islam.
Sebelum dilantik sebagai khalifah, Sayyidina Ali k.w telah menunjukkan sifat mulia, iaitu memaafkan musuhnya ketika beliau terdaya membalasnya.
Ternyata, ada riwayat gelap dalam sejarah Islam menjelang berlakunya bertukaran antara Bani Umaiyyah dan Bani Abbasiyyah. Habis kawasan perkuburan khalifah-khalifah Bani Umaiyyah dimusnahkan setelah Bani Abbasiyyah berkuasa.
Antara yang terselamat dalam gempuran itu ialah kubur Umar Abdul Aziz. Oleh kerana pemerintahannya adil, maka golongan Abbasiah menghormatinya selepas kematiannya. Ternyata, ketika berkuasa memang sulit menahan diri daripada membalas dendam.
Bersikap adil ketika kuatSikap ketiga ialah adil ketika kuat dalam menjalankan pemerintahan. Dalam contoh yang terjadi dalam negara kita ialah bentuk hubungan kerajaan pusat dan kerajaan negeri. Jadi, oleh kerana perbezaan politik, kerajaan pusat lazimnya tidak dapat berlaku adil.
Apatah lagi, jika hal itu melibatkan wang, agihan ekonomi yang sepatutnya diterima oleh negeri yang diperintah pihak parti alternatif. Mereka masih lagi sukar mendapatkan wang peruntukan daripada kerajaan pusat.
Sebaliknya, kerajaan negeri cuba memberikan peruntukan ke atas wakil rakyat kerajaan pusat, namun hal itu ditolak oleh mereka dengan alasan yang bukan-bukan.
Contohnya, Dato' Azhar Ibrahim, Ketua Pembangkang Pulau Pinang pada 14 November lalu menolak elaun RM1,000 sebulan dengan alasan bahawa dia tak mahu membazirkan wang rakyat walaupun pada hakikatnya Umno punya rekod buruk dalam membazirkan wang rakyat sebelum ini.
Antara lain, dakwa beliau, beliau tidak mahu terhutang budi. Ini satu fahaman yang silap. Elaun tersebut diberikan supaya dapat dia pulangkan wang itu untuk rakyat juga, bukan untuk dirinya sendiri.
Samada beliau berbuat demikian untuk mendapat simpati orang-ramai atau elaun itu tidak mencukupi baginya, Allahu'alam.. Tapi, apa yang pasti ialah, kerajaan Pulau Pinang yang beriltizam mencontohi sikap Umar Abdul Aziz telah cuba memberikan keadilan terhadap lawan parti politik mereka melalui peruntukan itu.
Kita tak perlu meninjau sikap para pemimpin terdahulu untuk muhasabah, cukup melalui apa sahaja contoh yang terbentang di depan mata kita. Kita tidak perlu beramal dengan isi al-Qur'an secara keseluruhan untuk menjadi pemimpin yang terbaik. Cukup dengan cara melihat apakah kita mampu melaksanakan pesan Abdul Malik bin Marwan itu?