Wednesday, December 10, 2008

Orang Melayu miskin kerana siapa?

BRITISH tidak meruntuhkan orang Melayu dengan menjatuhkan Raja-rajanya, tetapi dengan melahirkan pemimpin-pemimpin Melayu yang rakus dan tidak mempunyai jati diri. Maka, selepas Perang Dunia Kedua, lahirlah sekumpulan aristokrat Melayu berpendidikan Barat untuk diserahkan kemerdekaan Tanah Melayu kepada mereka.

Selepas 50 tahun mereka mengambil alih kuasa daripada penjajah, orang Melayu menerima nasib seperti orang India. Yang berbeza hanya orang India dilumpuhkan oleh penjajah, tetapi orang Melayu dibangsatkan oleh anak bangsa sendiri yang menjadi alat kepada penjajah.

Dan memang tidak menghairankan apabila Jabatan Perangkaan Malaysia mendapati 301,000 keluarga orang Melayu berada pada paras pendapatan kurang daripada RM1,000. Jika satu keluarga mempunyai purata lima orang ahli, maka lebih 1.5 juta orang Melayu menghadapi masalah ini.

Bukankah selepas 13 Mei 1969, telah dibentuk Dasar Ekonomi Baru (DEB) untuk membela kaum Bumiputera, tetapi mengapa ia gagal. Orang Melayu terus mengungguli carta kemiskinan, di samping carta masalah sosial juga. Apakah kita tidak sedar selama ini orang Melayu sendiri yang menguasai politik negara dan mereka mempunyai bidang kuasa untuk membela kepentingan orang Melayu?

Nah! Sekarang orang Melayu sesudah 50 tahun di bawah ketiak Umno mereka terus merempat. Yang membesarkan tembolok hanyalah pemimpin Umno dan anak menantu mereka. Orang Melayu yang lain tidak memperoleh apa-apa. Di kalangan pemimpin Umno sendiri mereka lebih ghairah untuk bercakap soal mahu lawan atau tarik diri dalam pemilihan parti, daripada bercakap soal nasib bangsa dan negara. Tidak adapun sungutan yang benar-benar serius terhadap kedudukan orang Melayu sekarang.

Umno lebih berminat untuk mengagihkan kekayaan negara kepada kroni-kroni mereka, tetapi tidak mahu langsung membantu orang-orang Melayu yang miskin. Kalau nampak seperti hendak ditolong pun, ialah kononnya membela orang yang terbiar di negeri yang dikuasai pembangkang.
Sudah berapa banyak projek-projek raksasa diwujudkan untuk kroni, tetapi tidak memberikan manfaat kepada orang Melayu.

Dalam dunia pendidikan yang dianggap jambatan untuk memisahkan orang Melayu daripada kemiskinan, bukan sahaja bahasa Melayu terpinggir, sekolah-sekolah agama milik orang Melayu juga turut menjadi mangsa. Di universiti-universiti awam, sektor-sektor pendidikan yang strategik di fakulti perubatan, undang-undang, perakaunan, ekonomi, kejuruteraan, teknologi maklumat, perniagaan dan seumpamanya, jumlah pelajar Melayu amat sedikit berbanding bangsa lain. Orang Melayu lebih banyak ditempatkan di fakulti sastera, pengajian Islam, sains sosial dan sebagainya yang dilihat kurang nilai komersialnya.

Maka orang Melayu sukar untuk melepaskan diri daripada belenggu kemiskinan ini. Di IPTS seperti MMU yang banyak melahirkan tenaga profesional yang laku di pasaran pekerjaan, hanya 20 peratus sahaja tenaga akademiknya orang Melayu, manakala pelajarnya yang berbangsa Melayu pula hanya sekitar 25 peratus.
Amat jelas sekali bahawa Umno tidak mempunyai komitmen dan tidak serius langsung dalam mengangkat martabat orang Melayu, melainkan retorik kosong sahaja. Orang Melayu jangan terkeliru dengan isu-isu perkauman seperti isu Pengurus Besar PKNS, isu sewa Flat PKNS, isu ladang babi moden atau isu orang bukan


Melayu di UiTM, kerana ialah adalah isu kulit sahaja. Yang lebih besar ialah apakah pembelaan kerajaan Umno terhadap orang Melayu atau Bumiputera.
Selama ini, Umno hanya membantu menambahkan kekayaan pemimpin mereka, sehingga ada yang membina banglo lebih besar daripada istana. Mereka bercakap seolah-olah Pakatan Rakyat lebih mengutamakan orang bukan Melayu, tetapi Umno yang mempunyai kuasa yang lebih besar, langsung tidak mempedulikan orang Melayu.

Dalam keadaan seperti ini, dengan kegawatan ekonomi global, maka orang Melayu akan terus tersingkir daripada arus perdana. Orang Melayu paling miskin, paling ramai penagih dadah, paling ramai bermasalah sosial, paling tercorot dalam pendidikan dan sebagainya. Bahkan, kuasa politik orang Melayupun turut terjejas kerana permainan politik Umno.

Jika dalam tempoh 50 tahun sahaja, nasib orang Melayu sudah tidak menentu, bagaimana agaknya orang Melayu 50 tahun akan datang jika Umno terus diberikan kepercayaan. Orang Melayu mesti sedar hakikat ini dan data-data Jabatan Perangkaan itu hanyalah sebahagian kecil sahaja daripada ratusan masalah lain yang dihadapi sekarang.

Ayuh orang Melayu, membebaskan diri dari Umno, atau terus melayu!

Antara mawaddah dan rahmah

Khutbah Jumaat sebentar tadi ringkas tetapi padat. Isinya berkenaan mendirikan rumah tangga dan berumah tangga. Biasalah orang muda mahu berumah tangga manakala orang 'lama', cabarannya mengekalkan rumah tangga.
Sekarang ini, terlalu kerap kedengaran kes cerai-berai. Kisah perceraian golongan artis dan personaliti media massa menghiasai dada-dada akhbar. Gerun mendengarnya.
Sebagai insan biasa, kita juga cemaskan rumah tangga kita, berdoalah agar perkahwinan kita berkekalan hingga ke akhir hayat; bukan hingga ke anak cucu seperti diungkapkan sesetengah orang. Ini kerana ada juga pasangan veteran yang sudah beranak cucu terbabit dalam perceraian. Ertinya perkahwinan mereka berakhir selepas mereka mendapat anak cucu.
Apakah rahsia perkahwinan sehingga boleh berkekalan ke akhir hayat. Inilah yang menarik yang dapat penulis singkap daripada khutbah Jumaat itu. Khatib berkata Allah SWT kurniakan mawaddah dan rahmah kepada pasangan suami isteri. Apakah mawaddah dan rahmah itu?
Dalam Surah Ar-Rum Ayat 21 Allah SWT berfirman, yang maksudnya: "Dan antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan-Nya dan rahmat-Nya bahawa Dia menciptakan untukmu (wahai golongan lelaki) isteri-isteri daripada jenismu sendiri supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya dan dijadikan antara kamu (suami isteri) kasih sayang dan belas kasihan, sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan yang menimbulkan kesedaran bagi orang-orang yang berfikir."
Jatuh cinta adalah kurnia Allah SWT. Biasalah orang muda lelaki dan perempuan akan jatuh cinta jika ada 'chemistry' kata budak-budak muda sekarang. Apabila sudah bercinta, si pemuda teruslah meminang dan cepat-cepatlah nikah bagi mengelakkan terjebak daripada melakukan maksiat.
Tidak payahlah buat macam budak-budak muda zaman sekarang. Bertunang dijadikan lesen untuk mengusung anak dara orang tidak kira siang dan malam. Mak bapak pun diamkan saja. Semuanya haram dan berdosa, kata khatib.
Perkara yang membolehkan perempuan dan lelaki bercampur jika sudah suka sama suka adalah nikah. Selepas itu buatlah apa yang kamu mahu. Kasih sayang pada waktu muda inilah (bergetah kata orang sekarang) namanya mawaddah.
Semuanya indah, semuanya cantik. Pujian melangit diberikan kepada pasangan masing-masing. Si teruna akan berkata kepada si dara "Dinda adalah satu antara 1,000", manakala si dara akan berkata kepada si teruna, "Abanglah lekaki paling handsome (kalah Shah Rukh Khan) di dunia ini."
Mawaddah ini termasuklah keinginan seks yang membolehkan kesinambungan kepada zuriat manusia. Kasih dan sayang dan seks menjadi agenda; semuanya indah sebab kedua-duanya masih muda, masih bergetah.
Tetapi kata khatib tadi, biasalah manusia daripada muda menjadi tua. Daripada wajah dan 'body' yang handsome tadi, anggota badan sudah mulai kendur. Yang perempuan lagi cepat proses penuaannya. Pakailah alat mekap macam mana pun, tua tetap datang, kulit mulai berkedut, laki pun tidak lagi mengucapkan kata-kata hikmat "kau sentiasa di hatiku." "Untuk mengucapkan "I love you, atau aku cinta kamu", sudah terasa geli-geleman pada sesetengah orang. Apatah lagi jika kata-kata itu diucapkan di depan anak cucu, mereka akan berkata nanti, "orang tua ni dah buat tabiat ke?"
Jadi pada usia tua ini, apakah yang dapat menyelamatkan rumah tangga pasangan tadi. Itulah rahmah, kasih sayang peringkat tertinggi yang tidak mengenal lagi batasan fizikal sekali pun kau sudah 'condemn', aku tetap menyayangimu! Allah Taala telah bukakan perasaan belas kasihan antara satu sama lain, antara suami dan isteri.
Bukalah mata dan hati kamu luas-luas, kamu akan dapati ada suami yang terus melayani si isteri sekalipun orang rumahnya itu telah 'tersadai' di atas katil kerana berpenyakit, demikian juga ada isteri yang terus setia sekalipun suami sudah terperosok di atas kerusi roda.
Demikianlah betapa Pemurahnya Yang Maha Kuasa, dikurnikannya manusia itu mawaddah dan rahmah. Cinta yang meluap-luap dengan iringan nafsu ketika muda dan kemudian bertukar kepada rahmah, kemuncak cinta dan kasih sayang suami isteri yang berpegang teguh kepada janji untuk sama-sama mendapatkan syurga-Nya. Bukankah itu cita-cita setiap manusia beriman?
Jadi bagi pasangan suami isteri berusahalah untuk mendapatkan kasih sayang rahmah itu. Ini kerana makin lama sesebuah perkahwinan itu, makin hilanglah mawaddahnya (sebagai contoh keinginan seks semakin lama semakin menurun).
Bagi si isterilah tambatlah suami anda dengan ciri-ciri hebat anda seperti melayan makan minum dan menyediakan pakaiannya manakala bagi si suami tunjukkan keprihatinan anda seperti merawatnya ketika dia sakit.
Masakan sesuatu pasangan itu ada rahmah jika si isteri tidak mempedulikan makan minum dan rumah tangga si suami kerana kerap berada di luar melayani kepentingan kerjayanya manakala si suami asyik-asyik mengugut nak kahwin satu lagi kerana si isteri selalu sakit.
Fikir-fikirkanlah, marilah kita (termasuk saya) mencari rahmah selepas era mawaddah berakhir akibat ketuaan diri. Semua orang akan tua kerana tua tidak diminta tetapi ia datang sendiri.

Tanggungjawab pemimpin ingatkan rakyat mengenai kematian

"Maka, hendaklah kamu berpegang teguh dengan sunnahku, dan sunnah para khulafa' ar-Rasyidin al-Mahdiyyin dan gigitlah sunnah-sunnah itu dengan gigi geraham dan jauhilah perkara-perkara yang baharu (bid'ah) yang diada-adakan, kerana sesungguhnya tiap-tiap bid'ah itu adalah sesat." --- Abu Daud dan Tirmizi.
Kalau kita melihat perkembangan hari ini, masyarakat kita sudah jauh daripada agama. Dan, sifat menjauhi agama ini adalah sikap orang-orang yang suka menjauhi akhirat. Sedangkan kewujudan akhirat itu adalah suatu kepastian.
Menjauhi akhirat ertinya kita seperti berusaha mengelak menemui kematian. Kematian menjemput kita pada bila-bila masa sahaja. Dalam kes terbaru, Timbalan Menteri Pelajaran Dato' Razali Ismail telah dijemput oleh Allah s.w.t ketika beliau sedang bermain badminton di Institut Aminuddin Baki, berhampiran Genting Highland.
Mati mengejut secara tiba-tiba ini sepatutnya meresahkan kita kerana kita mungkin terheret dalam kancah kematian tanpa memiliki sebarang persediaan untuk menemui Tuhan.
Dalam sebuah hadis yang lain, Rasulullah bersabda bahawa orang yang pintar dan bijaksana itu ialah mereka yang selalu berfikir mengenai kematian. Mengapakah mereka yang kerap mengingati mati itu dinilai dan diperhitungkan sebagai manusia yang bijaksana? Ini kerana, mereka selalu berasa resah, gelisah, khuatir dan bimbang kalau-kalau amalan mereka masih tak mencukupi untuk dibawa pulang ke akhirat.
Tambah merisaukan mereka, jika amalan itu dibungkus oleh pakaian ujub, riak, sum'ah dan tidak ikhlas mengerjakan amalan itu kerana Allah. Kekhuatiran yang semacam inilah yang akhirnya menyebabkan seseorang itu terdorong pula untuk berdoa meminta keampunan dan beristighfar semoga amalan mereka itu diberikan pakaian ikhlas oleh Allah s.w.t.
Mengingatkan rakyat mengenai kematian adalah sunnah nabi dalam pemerintahan Berdasarkan hadis di atas yang menyingkap perihal sunnah, maka kita melihat bagaimana pemimpin terdahulu seperti baginda Rasulullah s.a.w dan para sahabat baginda Khulafa' ar-Rasyidin al-Mahdiyyin kerap mengingatkan rakyat berhubung kematian dan alam barzakh.
Maka, tindakan mengingatkan rakyat berhubung kematian dan segala persiapan untuk menempuh ke alam barzakh ini, termasuk dalam sunnah-sunnah nabi dan para sahabat baginda dalam menjalankan tanggungjawab dan kewajipan mereka dalam pentadbiran Islam. Pemerintahan Islam bukan sekadar memperihalkan hal urusan dunia.
Bahkan, hal yang menyangkut membangunkan kesedaran untuk membangunkan persiapan ke akhirat adalah termasuk dalam urusan pemerintahan Islam juga. Antara kisah termasyhur adalah kisah Umar r.a melihat umat Islam zaman beliau yang kurang dalam mengingati mati.
Maka, suatu hari Umar perintahkan umat Islam datang ke masjid dan mereka langsung disoal dengan soalan-soalan di dalam kubur. Diringkaskan cerita, semua umat Islam mula terkesan dengan latihan dan tarbiyah seumpama itu. Maka meningkatlah amalan mereka kerana terkesan dengan corak latihan tarbiyyah dari Umar itu. Maka, inilah sunnah Umar yang wajar diikuti.
Umar juga berkata, ajarkanlah anak-anak kalian dengan ilmu pengetahuan semasa dan terkini. Jika Umar masih hidup lagi pada zaman kita dan beliau melihat perkembangan teknologi seperti Imej Janaan Komputer (CGI) dan lain-lain teknologi yang kreatif dalam usaha membangunkan kesedaran untuk mengingatkan rakyat berhubung kematian, nescaya Umar akan guna semua peralatan itu untuk tujuan membangunkan kesedaran betapa perlunya persiapan menempuh akhirat.
Tiada salahnya pemerintah berkreatif mengingatkan rakyat atau rakyat mengingatkan pemerintah mengenai persiapan untuk menempuh kematian.
Menteri Besar Kelantan melalui kuliah dan tazkirahnya, segala ceramahnya itu telah dibukukan dan kebanyakan rakaman itu berkisarkan soal hidup selepas kematian di padang mahsyar. Ini adalah teknologi buku-buku dan kitab-kitab.
Di Kampung Tok Selehor, seorang ulamak terkenal yang hidup sezaman dengan Tok Kenali, iaitu Tok Selehor telah mengguna teknologi tersendiri, iaitu membina lubang kubur yang mana dia sendiri masuk ke dalamnya untuk mengingatkan dirinya tentang kematian.
Teknologi, laluan lebuh raya bahasa, lapangan sastera untuk ingat kematianTiada salahnya menggunakan peralatan teknologi terkini dalam usaha mengingatkan orang-ramai mengenai kematian. Ada juga yang menggunakan jalan sastera seperti Sajak Kematian. Jadi, hal ini merupakan lebuh raya dan landasan yang boleh diterima juga untuk mengingatkan rakyat mengenai kematian.
Mengapakah Menteri Pelajaran sanggup menafikan semua kebijaksanaan teknologi ini? Kalau beliau mahu haramkan, maka dia perlu berikan alternatif lain tentang cara-cara menghidupkan ghairah kaum pelajar dalam mengingati mati. Dia tak boleh haramkan begitu sahaja, melainkan beliau mesti memberikan jalan alternatif lain, sebab ini semua adalah kewajipan dari pihak pemerintah untuk mengingatkan rakyat mengenai kematian.
Sesungguhnya, pemergian Datuk Razali Ismail dan ucapan sebak dan tangisan teresak-esak Hishamuddin ketika melontarkan respon mengenai pemergian pembantu beliau itu seharusnya menyedarkannya bahawa hal mengingati mati ini adalah satu hal yang tidak boleh dipandang remeh memandangkan hal ini termasuk dalam sunnah pemerintahan Rasulullah s.a.w dan para sahabat baginda. Lebih-lebih lagi, Hishammuddin adalah Menteri Pelajaran.
Ajarlah generasi muda mengingati mati. Atau, kalau dalam nama asalnya Menteri Pendidikan (ini yang lebih tepat), maka didiklah, asuhlah, adabkanlah pelajar-pelajar sekolah agar selalu cenderung mengingati mati dan secara tidak langsung mereka akan terdorong membanyakkan amalan dan selalu melatih diri agar bersifat ikhlas dalam beramal.

Yahudi mahu orang Islam jadi kafir

MEMANGLAH orang Yahudi berusaha supaya orang Islam menjadi kafir. Antaranya cara hidup mereka yang kita terima dengan terang dan jelas sekali iaitu teori-teori politik, ekonomi, pendidikan yang dilaksanakan pada hari ini atau yang dipanggil sosialisme, kapitalisme, pragmatisme, demokrasi dan seumpamanya, Jika dikaji teori-teori ini adalah dilahirkan oleh orang Yahudi atau Nasrani.
Merekalah yang mencipta teori-teori dan falsafah ini, di mana kebanyakan orang Islam percaya kepada teori ini sehingga sanggup menolak Islam sekali gus tidak menyedari diri telah menjadi kafir. Inilah apa yang dikehendaki oleh orang kafir yang Allah Taala sebut di dalam ayat yang kita mesti menyedarinya.
Apa yang berlaku itu adalah kerana hasad dengki mereka selepas ternyata bagi mereka kebenaran. Mereka sudah mengetahui bahawa Islam itu agama yang benar. Memang ramai kita mendengar orang yang tidak percaya kepada Islam dengan mengaku bahawa Islam itulah yang betul.
Kalau ditanya mengapa tidak mahu ikut Islam? Mereka menjawab Islam tidak boleh dan tidak sesuai dilaksanakan pada zaman sekarang. Kenyataan itu serupa dengan apa yang disebut di dalam ayat al-Quran.
Kepada ahli kitab pada zaman Nabi, Allah memerintahkan supaya memaafkan mereka dan membiarkan mereka sehingga Allah Taala mendatangkan perintah-Nya sesungguhnya Allah Maha Berkuasa di atas tiap-tiap sesuatu, maksud ayat 109 surah al-Baqarah.
Ayat memaafkan mereka dimansukhkan hukumnya. Kalau kita lihat Allah menyatakan di dalam ayat itu Sehingga Allah mendatangkan perintah-Nya. Apakah perintah-Nya? Perintah-Nya ialah firman Allah Taala dalam ayat 29 surah at-Taubah, maksudnya: Perangilah orang-orang yang tidak beriman dengan Allah.
Firman Allah Taala yang bermaksud: Dan dirikanlah oleh kamu akan sembahyang dan tunaikanlah zakat dan apa jua yang kamu dahulukan daripada kebaikan untuk diri kamu, tentulah kamu akan mendapat balasan pahalanya di sisi Allah. Sesungguhnya Allah sentiasa melihat segala yang kamu kerjakan.
Dan mereka (Yahudi dan Nasrani) berkata pula: "Tidak sekali-kali akan masuk syurga melainkan orang-orang yang beragama Yahudi atau Nasrani." Yang demikian itu hanyalah angan-angan mereka sahaja. Katakanlah (Wahai Muhammad): "Bawalah kemari keterangan-keterangan yang (membuktikan kebenaran) apa yang kamu katakan itu, jika betul kamu orang-orang yang benar."
(Apa yang kamu katakan itu tidaklah benar) bahkan sesiapa yang menyerahkan dirinya kepada Allah (mematuhi perintah-Nya) sedang ia pula berusaha supaya baik amalannya, maka ia akan beroleh pahalanya di sisi Tuhannya dan tidaklah ada kebimbangan (daripada berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita.
Dan orang-orang Yahudi berkata: "Orang-orang Nasrani itu tidak mempunyai sesuatu pegangan (agama yang benar)"; dan orang-orang Nasrani pula berkata: "Orang-orang Yahudi tidak mempunyai sesuatu pegangan (agama yang benar)"; padahal mereka membaca Kitab suci masing-masing (Taurat dan Injil). Demikian juga orang-orang (musyrik dari kaum Jahiliah) yang tidak berilmu pengetahuan, mengatakan seperti yang dikatakan oleh mereka itu. maka Allah akan menghukum (mengadili) di antara mereka pada hari kiamat mengenai apa yang mereka berselisihan padanya.
Di dalam ayat di atas, Allah SWT menceritakan tentang kesesatan Yahudi dan Nasrani serta kebingungan mereka di mana di antara kesesatan dan kejahatan mereka antara lain ialah mereka berkata bahawa tidak akan masuk syurga melainkan orang Yahudi. Ertinya selain Yahudi, tidak akan boleh sama sama sekali memasuki syurga Allah SWT.

Bersama Dr Haron: Undang-undang Islam hanya sesuai di negara Arab?

SOALAN: Di Malaysia, masyarakatnya majmuk, terdiri daripada pelbagai suku kaum dan agama. Rasionalnya undang-undang yang sedia ada paling sesuai bagi negara majmuk seperti Malaysia. Ada pun undang-undang Islam hanya sesuai untuk orang-orang Arab di negeri Arab, yang kebanyakannya terdiri daripada satu bangsa, tidak seperti kita. Inilah yang selalu menjadi perbualan yang sering dibangkitkan, apa pandangan Dato'? - TARMIZI WONG ABDULLAH, Seri Kembangan
JAWAPAN: Islam bukan untuk orang Arab sahaja, meskipun pada mulanya diturunkan dalam masyarakat Arab.
Islam sebenarnya untuk semua insan, ia risalah sejagat.
Nabi Muhammad s.a.w. tidak diutus untuk satu-satu kaum sahaja, malahan untuk semua manusia.
Allah berfirman (mafhumnya): "Dan tidak Kami mengutusmu (wahai Muhammad) melainkan untuk umat manusia seluruhnya..." (Surah Saba', ayat 28)
Rasulullah s.a.w. sendiri pernah bersabda (mafhumnya): "Saya diutuskan untuk sekalian manusia."
Dalam hadis yang lain baginda menyebut (mafhumnya): "Bahawasanya saya adalah rahmat Allah yang dihadiahkan kepada kalian."
Muhammad adalah Rasulullah terakhir, Nabi akhir zaman, selepas baginda tidak ada lagi Nabi dan Rasul.
Soalan anda bertitik tolak daripada masyarakat majmuk sebagai landasan untuk menyatakan bahawa Islam tidak boleh diterima sedangkan, hakikatnya masyarakat majmuklah yang menjadi pilihan Allah untuk melahirkan agama-Nya.
Islam lahir dan berkembang dalam masyakarat majmuk, sama ada masyarakat Makkah ataupun Madinah.
Ini bukanlah bererti masyakat majmuk yang berlainan agama itu mesti memeluk agama Islam. Tidak!
Mereka dibebaskan atau diberi kebebasan untuk beramal dengan agama mereka sendiri.
Masyarakat yang wujud sebelum kedatangan Islam, adalah masyarakat yang berpecah belah, setelah mereka menerima dan hidup di bawah naungan Islam, mereka menjadi aman dan bersatu padu.
Daripada permusuhan mereka memupuk persaudaraan, daripada memakan harta secara tidak jujur kepada penuh kejujuran, daripada berbencian kepada berkasih sayang, daripada kemunduran kepada kemajuan, dalam erti kata yang sebenar.
Inilah yang Allah sebutkan dalam al-Quran (mafhumnya): "Dan berpegang teguhlah kamu sekalain dengan tali Allah (agama Islam), dan janganlah kamu berpecah belah; dan ingatlah nikmat Allah ke atas kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliah), lalu Allah menyatukan di antara hati-hati kamu (sehingga bersatu padu dengan nikmat Islam), maka jadilah kamu dengan nikmat Allah itu bersaudara mara..." (Surah Ali 'Imran ayat 103)
Sekiranya anda berpegang kepada situasi di negara kita dengan keadaan yang kita berada sekarang ini, sudah cukup dan selesa untuk orang-orang seperti anda yang berkemungkinan tidak pernah bermasalah.
Tetapi mengapa anda tidak merenung situasi yang orang ramai hadapi sekarang ini, di mana keselamatan akidah terancam, pegangan manusia kepada agamanya berkecamuk dan bercelaru.
Nyawa manusia telah disia-siakan. Berlaku bunuh membunuh, kesihatan akal manusia bercelaru akibat mabuk, manusia hilang kewarasan, hatta untuk membuat perhitungan baik burukpun bercelaru.
Maruah manusia jelas tergadai dan hilang harga diri. Apatah lagi apabila anda melihat gelagat muda mudi yang hanyut, meskipun ada yang baik.
Harta benda yang dimangsakan oleh perompak, pencuri dan penipu. Indeks jenayah dalam semua kes terus melonjak, tidak ada petanda hal-hal sedemikian itu boleh reda.
Hal-hal ini berlaku antara sebabnya ialah kerana undang-undang yang ada tidak berjaya membendung dan memperbaiki penyakit masyarakat yang berlaku.
Cuba anda fikirkan pula hal-hal negatif ini tentulah cuba ditangani oleh pihak berkuasa dengan tindakan dan pelbagai cara, termasuk dengan mengadakan pusat pemulihan, atau dengan menangkap serta menghukum penjenayah di mahkamah.
Tetapi semua yang berlaku, penyakit cuba diubati, tetapi tidak dilihat kesungguhannya, malah penyakit itu semakin hari semakin melebar dan teruk.
Mengapakah tidak diusahakan ubat lain yang setidak-tidaknya dilihat sebagai suatu alternatif bagi mengubati penyakit-penyakit yang sedia ada.
Kita adalah makhluk ciptaan Allah, Allah Maha Mengetahui kekuatan dan kelemahan makhluk ciptaan-Nya. Dia tahu penyakit yang akan dihidapi dan Allah menyediakan ubat untuk yang dicipta-Nya.
Dia lebih mengenali manusia dan mengetahui atur cara atau manual yang perlu mereka ikut untuk mengatasi masalah kehidupan.
Kerana itulah Allah SWT menurunkan agama-Nya dan peraturan-peraturan-Nya, bukan sahaja masyakat Islam, malah untuk manusia keseluruhannya.
Dengan kebijaksanaan Allah undang-undang-Nya diturunkan, Kitab-Nya diketengahkan dan peraturan-peraturan-Nya dipaparkan, guna untuk keselamatan umat ini di dunia hingga ke akhirat.
Oleh yang demikian, masyarakat majmuk bukan sebab Islam tidak boleh diterima, kerana Islam itu boleh memaparkan dan menawarkan kelebihan nyata untuk kepentingan insan. Wallahu a'lam.